PONTIAN: Dua beradik yang berkeras mahu ke sekolah meskipun sudah dimaklumkan sesi persekolahan ditutup akibat jerebu maut bersama abang mereka selepas motosikal yang dinaiki mereka bertiga bertembung sebuah lori ketika dalam perjalanan pulang di Jalan Parit Haji Siraj, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, Nor Daniel Aiman, 18, bersama dua adiknya, Nor Daniel Fikri Norlizan, 11, dan Puteri Naufa Raisya, lapan tahun, maut selepas motosikal dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan kira-kira 200 meter dari rumah.
Memetik laporan TV3, ibu mangsa, Julaiha Munaji, 42, berkata, dia sudah memaklumkan kepada kedua-dua anaknya bahawa sekolah di Johor ditutup akibat jerebu, namun mereka tetap berkeras mahu hadir.
Menurutnya, Aiman kemudian membawa kedua-dua adiknya ke sekolah bagi membuktikan sesi persekolahan sememangnya ditutup sebelum mereka berpatah balik untuk pulang.
“Tahu, saya dah beritahu tak payah pergi sebab Johor tak sekolah hari ini. Tapi mereka berdua beria-ia dan berkeras nak pergi juga.
“Jadi abangnya tolong hantarkan untuk puaskan hati mereka, nak tunjukkan yang sekolah sebenarnya tutup,” katanya.
Julaiha berkata, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sekolah turut menunjukkan ketiga-tiga anaknya tiba di sekolah sebelum berpatah balik selepas mendapati premis berkenaan ditutup.
Bagaimanapun, dia hanya mengetahui mengenai kemalangan itu selepas seorang individu yang dalam perjalanan ke tempat kerja datang memaklumkan kejadian berkenaan kepada bapanya.
“Ada budak nak pergi kerja datang ke rumah dan beritahu ayah saya yang cucu-cucunya kemalangan dekat situ.
“Ayah saya terus pergi ke tempat kejadian dan tengok dua orang daripadanya dah meninggal dunia. Manakala Aiman pula dibawa ke hospital. Itu sahaja yang saya tahu,” katanya.
Mengimbas kenangan bersama anak-anaknya, Julaiha menyifatkan Aiman sebagai seorang yang pendiam tetapi gemar bergurau dengannya, selain ketiga-tiga beradik itu sangat rapat antara satu sama lain.
“Aiman ni jenis pendiam, tapi kalau dengan saya dia suka bergurau. Mereka semua rapat dan malam tadi pun tidur sekali dengan kami,” katanya.
Sementara itu, ibu saudara mangsa, Norimah Khamis, 40, berkata, Nor Daniel Fikri tidak sempat memakai kasut bola baharu yang dibelikan ibunya.
“Mak dia semua dah belikan kasut. Abang dia nombor dua tu, abang dia darjah enam tu dah belikan kasut bola dah, belum sempat pakai lagi.
“Mak dia dah cakap memang tak sekolah hari ni, tapi dia semangat sangat nak pergi sekolah, dia nak tengok juga sekolah tu betul tak sekolah,” katanya.






