Pan Borneo: Warisan Perlu Cermin Diri Sebelum Berbicara Soal Audit – Aksyah

Pan Borneo: Warisan Perlu Cermin Diri Sebelum Berbicara Soal Audit – Aksyah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Parti Warisan (Warisan) perlu mencermin diri dan mengakui kelemahan pentadbiran terdahulu sebelum mempersoalkan Kerajaan Sabah ketika ini berhubung penemuan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) mengenai pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah, tegas Ketua Penerangan (Penaja) Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian Kinabatangan, Aksyah Nasrah.

Beliau berkata, masalah kelewatan dan kepincangan projek berkenaan sudah berlarutan sejak ia mula dirancang pada 2015, termasuk ketika Warisan mentadbir Sabah.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ahli Majlis Tertinggi Warisan, Chen Ket Chuin atau KC, yang mempersoalkan kelewatan projek susulan penemuan LKAN serta menuntut penjelasan kerajaan mengenai status pakej bermasalah, kontraktor, perunding dan pembayaran.

“Jika benar terdapat kelemahan pengurusan tapak, isu utiliti dan tadbir urus kontrak, persoalannya, apakah yang dilakukan pentadbiran Warisan sepanjang tempoh lebih dua tahun mereka memerintah dahulu?” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.

Aksyah mendakwa, keputusan pentadbiran terdahulu menamatkan model Rakan Pelaksana Projek (PDP) pada September 2019 atas alasan penjimatan telah menjejaskan penyelarasan teknikal, pengurusan pampasan tanah dan kelancaran pelaksanaan projek.

Menurutnya, Kerajaan Negeri ketika ini melalui Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah sedang mempergiat langkah pemulihan terhadap pakej yang lewat, termasuk menyelesaikan isu pampasan tanah serta pengalihan utiliti.

“Apabila Datuk Seri Hajiji Noor mengambil alih pentadbiran, beliau tidak membuang masa dengan hanya meratap atau menuding jari, sebaliknya mengambil tanggungjawab berat untuk menyelesai, mengurus dan merawat ‘barah kronik’ tinggalan dasar masa lalu ini,” katanya.

Beliau berkata, pentadbiran Hajiji turut melaksanakan penstrukturan semula perolehan sehingga Surat Setuju Terima (SST) diserahkan kepada 13 kontraktor tempatan pada Oktober 2024 bagi melaksanakan baki 19 pakej Fasa 1B bernilai RM13.989 bilion.

Aksyah berkata, beliau bersetuju bahawa peruntukan tanpa akauntabiliti boleh menyebabkan pembaziran, namun semua pihak juga perlu bertanggungjawab terhadap keputusan dan kelemahan pentadbiran masing-masing.

Katanya, Warisan tidak seharusnya hanya mempersoalkan usaha kerajaan semasa tanpa mengakui masalah yang berlaku ketika parti itu menerajui pentadbiran negeri.