Kontrak Shell Kepada Syarikat Sabah Bukti Keupayaan Industri Tempatan Semakin Diiktiraf –...

Kontrak Shell Kepada Syarikat Sabah Bukti Keupayaan Industri Tempatan Semakin Diiktiraf – Masidi

0
SHARE

KOTA KINABALU: Penganugerahan kontrak oleh Shell kepada syarikat tempatan membuktikan agenda kandungan tempatan Sabah semakin membuahkan hasil, khususnya dalam memperkukuh keupayaan syarikat negeri untuk bersaing dalam industri minyak dan gas bertaraf dunia.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, penganugerahan kontrak melibatkan operasi laut dalam yang kompleks dan khusus turut mencerminkan keyakinan industri terhadap keupayaan syarikat tempatan yang semakin berkembang.

Bagaimanapun, beliau menegaskan kejayaan agenda kandungan tempatan tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah kontrak yang diperoleh semata-mata, sebaliknya kemampuan syarikat Sabah melaksanakan kerja berstandard antarabangsa.

“Nilai sebenar kandungan tempatan diukur berdasarkan berapa banyak syarikat Sabah menjadi mampu melaksanakan kerja bertaraf dunia, berapa ramai rakyat Sabah memperoleh kemahiran bernilai tinggi dan berapa banyak nilai ekonomi jangka panjang kekal serta berkembang di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penganugerahan Kontrak Shell Sabah di Plaza Shell, di sini, hari ini.

Masidi yang juga Pengerusi SMJ Energy berkata, kerjasama strategik antara syarikat tempatan dengan rakan industri berpengalaman penting bagi memastikan pemindahan teknologi, kepakaran dan pengetahuan dapat dilaksanakan secara berkesan.

Sehubungan itu, beliau mahu syarikat penerima kontrak memanfaatkan peluang berkenaan untuk membangunkan bakat tempatan, termasuk melatih jurutera dan juruteknik serta menyediakan laluan kerjaya dalam projek berteknologi tinggi.

“Matlamat kita ialah memastikan lebih ramai rakyat Sabah bukan sahaja bekerja dalam industri ini, tetapi pada masa hadapan mampu memimpin syarikat, mengurus projek besar, membangunkan teknologi serta membuat keputusan teknikal dan komersial,” katanya.

Menurutnya, Sabah kini bukan lagi sekadar pemerhati dalam industri minyak dan gas, sebaliknya muncul sebagai pemilik, penyumbang dan pemangkin dalam menentukan masa depan industri berkenaan.

Katanya, perkembangan positif itu hasil kerjasama antara Kerajaan Negeri, PETRONAS, Shell, SMJ Energy, pemain industri tempatan serta pelbagai pihak berkepentingan.

Dalam pada itu, Masidi menggesa syarikat Sabah terus meningkatkan standard sumber manusia, teknologi, keselamatan, tadbir urus dan kecemerlangan operasi bagi memperkukuh daya saing industri tempatan.

Beliau berkata, aspirasi jangka panjang kerajaan adalah menjadikan Sabah sebagai pusat kepakaran, pelaburan, inovasi dan pembangunan bakat sektor tenaga, sekali gus membolehkan syarikat tempatan bersaing di peringkat nasional dan antarabangsa.

Tegasnya, kontrak yang dianugerahkan bukan sekadar peluang perniagaan, sebaliknya langkah penting ke arah membangunkan industri tenaga Sabah yang lebih kukuh, berkeupayaan tinggi dan berdaya saing di peringkat global.