Kebocoran Ban Kolam Wullersdorf Resources Cetus Pencemaran Alam Sekitar – ADUN Merotai...

Kebocoran Ban Kolam Wullersdorf Resources Cetus Pencemaran Alam Sekitar – ADUN Merotai Desak Siasatan SPRM

0
SHARE

TAWAU: Kebocoran ban kolam buangan milik Wullersdorf Resources Sdn Bhd mencetuskan pencemaran alam sekitar serius di kawasan operasi syarikat itu sehingga menjejaskan penempatan pekerja serta kebun penduduk, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merotai, Sarifuddin Hata

Memetik hasil pemeriksaan lapangan oleh beberapa agensi termasuk Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) Sabah, Jabatan Perlindungan Alam Sekitar (EPD), Majlis Perbandaran Tawau dan Jabatan Kesihatan pada 20 Mei lalu Sarifuddin berkata, didapati berlaku keruntuhan dinding Kolam Buangan Hempas Basah (TSF) disebabkan kebocoran dan kelemahan penyelenggaraan.

“Insiden ini merupakan bencana alam sekitar yang amat jarang berlaku di Malaysia dan membabitkan risiko toksik tinggi, termasuk kemungkinan pencemaran akibat bahan kimia berbahaya seperti Sodium Cyanide,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

“Sekiranya pihak Wullersdorf Resources mempunyai pelan mitigasi dan SOP yang sempurna, sudah tentu perkara ini tidak berlaku,” tegas Sarifuddin yang turut mendakwa syarikat itu memutar belit kenyataan dengan mendakwa mereka mematuhi garis panduan alam sekitar.

Tambahnya lagi, terdapat unsur kekeliruan apabila EPD memberikan amaran kepada syarikat Southsea Gold, sedangkan syarikat itu telah menghentikan operasi di kawasan terbabit sejak 2023 dan kini sedang mengambil tindakan undang-undang termasuk pembatalan kelulusan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).

Sarifuddin turut mendedahkan bahawa Wullersdorf Resources telah mendapat injunksi mahkamah untuk membaiki ban kolam tersebut, tetapi didakwa menyalahgunakan perintah tersebut dengan menceroboh tanah milik Southsea Gold dan mengalirkan air tercemar ke sungai berdekatan.

Beliau menggesa agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera menyiasat kegagalan pengurusan dan kemungkinan salah guna kuasa yang berlaku dalam insiden ini.

“Ini bukan masa untuk berselindung atau mempolitikkan bencana. Dunia sedang memerhati. Rakyat berhak mengetahui kebenaran,” ujar Sarifuddin.

Setakat ini, pihak berkuasa berkaitan belum mengeluarkan kenyataan balas rasmi berhubung dakwaan tersebut.