DAPSY Sabah Desak KPM Gantung Tugas Pengetua, PK HEM Dan Warden SMKA...

DAPSY Sabah Desak KPM Gantung Tugas Pengetua, PK HEM Dan Warden SMKA Tun Datu Mustapha 

0
SHARE

KOTA KINABALU: Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Sabah, Chan Loong Wei, menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia menggantung tugas serta-merta Pengetua, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid dan semua warden SMKA Tun Datu Mustapha yang sedang disiasat berhubung kematian pelajar tingkatan satu, Zara Qairina.

Menurutnya, langkah memindahkan pegawai-pegawai tersebut ke Jabatan Pendidikan Negeri Sabah tidak mencukupi untuk memastikan siasatan berjalan secara bebas dan telus.

“Pegawai-pegawai ini mesti digantung sehingga siasatan selesai dan mereka dibuktikan tidak bersalah.

“Membiarkan mereka terus memegang jawatan aktif, walaupun di lokasi berbeza, berisiko menjejaskan keyakinan awam,” katanya.

Chan menegaskan penggantungan ketika siasatan adalah amalan biasa dalam kes serius, terutamanya yang melibatkan kematian pelajar, bagi mengelakkan sebarang persepsi campur tangan atau pengaruh ke atas saksi dan warga sekolah.

“Keselamatan, maruah dan keadilan untuk pelajar mesti diutamakan melebihi kepentingan pentadbiran. Keadilan bukan sahaja mesti dilaksanakan, tetapi mesti dilihat dilaksanakan,” katanya.