KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) menyambut baik keputusan Kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan perwakilan Sabah dan Sarawak di Parlimen, menyifatkannya sebagai perkembangan penting dalam usaha mengembalikan keseimbangan perwakilan seperti yang dihasratkan ketika pembentukan Malaysia.
Ketua Pemuda PBS, Datuk Christopher Mandut berkata, keputusan itu merupakan perkembangan positif yang telah lama dinantikan, khususnya selepas isu peningkatan jumlah kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak sekian lama dibangkitkan.
“PBS menyambut baik keputusan ini kerana peningkatan jumlah kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak bukan sekadar soal menambah bilangan wakil, tetapi menyentuh soal keseimbangan perwakilan dan kedudukan Sabah serta Sarawak dalam Persekutuan.
“Ini merupakan satu langkah penting untuk memastikan suara Sabah dan Sarawak terus diberi ruang yang sewajarnya dalam proses membuat keputusan di peringkat Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Christopher berkata, usaha membawa isu berkenaan ke perhatian Kerajaan Persekutuan bukan perkara baharu dan pengiktirafan wajar diberikan kepada mereka yang memperjuangkannya secara konsisten.
Beliau berkata, PBS khususnya menghargai usaha bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang sebelum ini memberi perhatian serius terhadap isu perwakilan Sabah dan Sarawak di Parlimen.
“Ketika menerajui portfolio Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili telah membawa perkara ini ke peringkat Persekutuan dan menekankan keperluan untuk mengembalikan perwakilan Sabah dan Sarawak berdasarkan semangat asal pembentukan Malaysia.
“Beliau juga telah menegaskan bahawa perkara ini perlu diberi perhatian dan terus didorong sebagai sebahagian daripada usaha memulihkan hak serta kedudukan yang termaktub dalam MA63,” katanya.
Christopher berkata, keputusan terbaharu itu perlu disusuli dengan perincian mengenai jumlah dan pembahagian kerusi tambahan bagi Sabah dan Sarawak.
“PBS berharap proses seterusnya dapat dilaksanakan dengan mengambil kira kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai rakan pembentuk Malaysia serta semangat MA63.
“Ini bukan semata-mata soal menambah bilangan kerusi, tetapi memastikan suara dan kedudukan Sabah dalam Parlimen mencerminkan peranan negeri ini dalam pembentukan Malaysia,” katanya.






