KUALA LUMPUR – Vokalis kumpulan Koffin Kanser, Aru Peruzza, 56, nekad memotong rambutnya yang panjang gaya ‘dreadlock’ sebagai tanda kekecewaaan terhadap proses kawalan jangkitan COVID-19 di negara ini.
Aru atau nama sebenar Piruzzaman Azizan memotong rambut ‘dreadlock’ sepanjang 2 meter lebih yang mana hampir 26 tahun dibelanya disebabkan tiada tawaran menyanyi di kala pandemik melanda negara.
“Sudah lebih setahun satu tawaran persembahan pun tiada. Saya sekarang hanya termenung di rumah. Daripada serabut fikir, saya buang mana-mana yang ada pada saya…
“Boleh dikatakan saya melalui kehidupan baru yang segar sekarang. Rasa lega dapat buang benda-benda lama. Bayangkan 26 tahun rambut ini bersama saya. Panjangnya lebih dua meter!
“Jadi susah senang dengan saya dan beban itu pun dia tanggung. Rambut baru saya sekarang hanya paras dada,” katanya.
Aru menganggap apa yang dilakukannya satu penghijrahan dan dia kini boleh melakukan benda baharu dalam hidupnya.
Tambah Aru, dia menyimpan rambut begitu untuk kerjaya seninya.
Pada masa yang sama, Aru meluahkan rasa kecewanya terhadap sistem sedia ada di negara ini yang seolah-olah tidak berjalan seperti sepatutnya, selain bercelaru hingga menyebabkan penularan wabak berkenaan terus gagal dikekang.
“Pandemik Covid-19 jadi asbab yang buka hati saya untuk potong ‘dreadlocks’ yang jadi aset untuk saya buat persembahan selama ni…
“Selain tu, saya amat kecewa dengan keadaan kita sekarang khususnya impak pandemik serta cara kita menangani wabak tak berjalan seperti sepatutnya menyebabkan situasi COVID-19 dalam negara semakin parah hari demi hari.
“Justeru, sebagai ekspresi spiritual peribadi saya terhadap keadaan ini saya memotong anugerah yang merupakan identiti kembara seni saya hampir tiga dekad,” katanya yang dipetik portal berita Malaysiakini baru-baru ini.
Memetik laporan Harian Metro, Aru dalam perkembangannya yang terkini baru sahaja selesai menghasilkan program DKD Muzik Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (Prisma).
“Saya menyanyikan dua lagu iaitu Love Song (The Cure) dan Hang Pi Mana (Khalifah) yang diubah kepada rentak reggae. Saya juga sedang hasilkan album terbaru yang memuatkan lima lagu. Cuma saya tunggu dana yang disediakan kerajaan untuk menyiapkannya,” katanya lagi.