KOTA KINABALU, SABAH – Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) Datuk Seri Anifah Aman menggesa kedua-dua Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah untuk mengutamakan pelaksanaan Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.
Di bawah Perkara 112C dan 112D, Sabah berhak mendapat 40 peratus daripada semua hasil yang dikutip oleh Kerajaan Persekutuan daripada Sabah.
“Dalam penyerahan memorandum kepada Kerajaan Persekutuan pada malam Sabtu, PCS mengingatkan Kerajaan bahawa Perkara 112C dan Perkara 112D adalah sebahagian daripada jaminan perlembagaan yang diberikan kepada Sabah untuk membentuk Persekutuan Malaysia pada tahun 1963. Tanpa jaminan tersebut, Sabah tidak akan bersetuju.
“Kerajaan Persekutuan tidak membayar Sabah kelayakan sejak 1973, sekali gus menafikan dana yang amat diperlukan oleh Negeri Sabah untuk maju.
“Tambahan pula, Kerajaan gagal mengadakan kajian semula Perjanjian yang dipersetujui sejak 1974 dengan Kerajaan Negeri. Ini jelas melanggar Perlembagaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, dengan jaminan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Kerajaan Persekutuan akan menghormati dan melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963, semua isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 harus diselesaikan menjelang 2023 untuk semua rakyat Malaysia menumpukan kepada perpaduan dan kemajuan.