KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengesahkan bahawa kenderaan yang ditunda akibat kesalahan parkir tidak akan dilelong, sekali gus memberikan kepastian kepada pemilik kenderaan susulan kebimbangan masyarakat terhadap operasi penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan itu.
Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Datuk Chan Foong Hin berkata, perkara itu dimaklumkan DBKK dalam satu perbincangan baru-baru ini bagi membangkitkan maklum balas dan kebimbangan orang ramai berhubung operasi penundaan kenderaan di sekitar bandar raya berkenaan.
Menurutnya, DBKK turut menjelaskan bahawa tindakan penundaan kenderaan hanya dilaksanakan sebagai langkah terakhir selepas amaran diberikan kepada pemilik kenderaan yang melakukan kesalahan parkir.
“Bagi pemilik yang menghadapi kesukaran menjelaskan bayaran, ruang perbincangan dan penyesuaian pembayaran juga boleh dipertimbangkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Chan berkata, beliau memahami operasi penundaan kenderaan yang dilaksanakan DBKK telah menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat sejak kebelakangan ini.
Justeru, beliau mengambil inisiatif membawa suara dan pandangan orang ramai kepada pihak berkuasa tempatan itu supaya setiap kebimbangan dapat diberikan perhatian sewajarnya.
“Saya setuju bahawa DBKK telah mengambil langkah lebih berhemah sebelum tindakan penundaan dilaksanakan.
“Penguatkuasaan sememangnya penting bagi memastikan kelancaran lalu lintas, keselamatan pengguna jalan raya dan keselesaan pejalan kaki, sambil mengambil kira keadaan di lapangan serta kemampuan dan kesulitan yang mungkin dihadapi oleh masyarakat,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Chan turut membangkitkan kebimbangan peniaga, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), berhubung kadar caj papan tanda premis perniagaan.
Katanya, DBKK telah memberikan penjelasan bahawa kadar caj bagi papan tanda premis perniagaan yang terletak di dalam bangunan adalah rendah.
Beliau berharap penjelasan itu dapat memberikan kepastian kepada golongan peniaga mengenai kadar dan pelaksanaan caj berkenaan.
Sementara itu, Chan menghargai kesediaan DBKK untuk mendengar serta memberikan penjelasan terhadap isu yang dibangkitkan masyarakat.
“Sebagai wakil rakyat Kota Kinabalu, saya akan terus memainkan peranan sebagai penghubung antara masyarakat dengan pihak berkuasa, supaya setiap maklum balas dan kebimbangan rakyat dapat disampaikan melalui saluran perbincangan yang sewajarnya,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa usaha menjadikan Kota Kinabalu sebuah bandar raya yang lebih teratur, bersih, selamat dan selesa memerlukan kerjasama semua pihak, termasuk pelaksanaan penguatkuasaan secara berhemah dengan mengambil kira kepentingan serta kesejahteraan masyarakat.






