KPDN Selangor lumpuh sindiket seleweng LPG subsidi di Tanjung Sepat

KPDN Selangor lumpuh sindiket seleweng LPG subsidi di Tanjung Sepat

0
SHARE

SHAH ALAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor berjaya melumpuhkan satu kegiatan penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi yang dipercayai beroperasi di sebuah ladang kelapa sawit di Jalan Tok Mori, Tanjung Sepat pada Rabu.

Pengarah KPDN Selangor, Muhamad Hanif Asa’ari berkata, serbuan menerusi Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) itu dijalankan kira-kira jam 3 petang hasil risikan selama sebulan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Menurutnya, pemeriksaan di premis tanpa nombor yang terletak dalam kawasan ladang kelapa sawit itu menemui dua lelaki warga asing berusia lingkungan bawah 30 tahun sedang menjalankan aktiviti ‘decanting’ iaitu memindahkan LPG bersubsidi tong 14 kilogram ke tong komersial 50 kilogram.

“KPDN Selangor mengesyaki premis ini menjual LPG 50 kilogram yang diisi menggunakan LPG bersubsidi kepada pihak industri pada harga lebih rendah daripada pasaran sebenar.

“Dua individu terbabit telah ditahan bagi membantu siasatan awal,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, pasukan serbuan turut menemui beberapa peralatan termasuk hos penyambung dan beg plastik berisi ais yang dipercayai digunakan dalam proses pemindahan gas menggunakan teknik konvensional.

Katanya, siasatan awal mendapati bekalan LPG subsidi dipercayai diperoleh daripada pemborong berlesen sekitar Banting, Tanjung Sepat dan Sungai Pelek.

“Berdasarkan maklumat awal ini, KPDN Selangor akan memfokuskan siasatan terhadap rantaian pembekalan yang membawa kepada aktiviti tidak bertanggungjawab ini,” ujarnya.

Menurut beliau, tindakan operasi itu berjaya melumpuhkan ketirisan subsidi LPG negara yang dianggarkan bernilai RM750,000 sepanjang tempoh sebulan sindiket tersebut beroperasi.

Dalam serbuan sama, pihak berkuasa menyita kira-kira 250 tong LPG pelbagai jenama berkapasiti 14 kilogram dan 50 kilogram dengan anggaran berat keseluruhan mencecah 3,000 kilogram selain alat timbang pelantar.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM400,000,” katanya.

Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika sabit kesalahan, individu boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala syarikat boleh dikenakan denda sehingga RM2 juta.

Muhamad Hanif menegaskan KPDN Selangor tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam sindiket dan aktiviti haram berkaitan penyelewengan barang kawalan bersubsidi.