Cinta Tidak Berbalas Dipercayai Antara Motif Irene Dibunuh di Sekolah

Cinta Tidak Berbalas Dipercayai Antara Motif Irene Dibunuh di Sekolah

0
SHARE

BATU PAHAT: Cinta tidak berbalas dipercayai menjadi antara motif Irene Sofiya Mohd. Khairool Faisal, 16, pelajar perempuan Tingkatan Empat yang ditemukan mati selepas dipercayai dibunuh di sebuah sekolah menengah di Yong Peng, di sini, kelmarin.

Menurut laporan Kosmo!, mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di sebuah dewan sekolah kira-kira jam 5.30 petang.

Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan parah pada muka dan badan yang dipercayai akibat hentakan menggunakan objek keras.

Ibu saudara mangsa, Siti Nur Faeza Khyar, 45, berkata Irene Sofiya atau lebih dikenali sebagai Fiya ditemukan ketika beliau bersama nenek mangsa dan beberapa rakan sekelas menjalankan usaha pencarian di sekitar sekolah.

Menurutnya, pencarian dilakukan selepas rakan sekelas mangsa menyedari Irene Sofiya tidak berada di sekolah, manakala motosikal miliknya ditemukan di sebuah kedai di hadapan sekolah berkenaan.

“Rakan-rakannya mula berasa tidak sedap hati sebelum saya bersama nenek dan beberapa rakan sekelasnya ke sekolah untuk mencari Irene Sofiya.

“Kami mencari di seluruh kawasan sekolah sebelum akhirnya menemui Irene Sofiya dalam keadaan terlentang di dalam sebuah dewan,” katanya seperti dilaporkan Kosmo!.

Nur Faeza berkata, rakan-rakan mangsa menjerit selepas melihat Irene Sofiya berlumuran darah, namun ketika ditemukan mangsa dilaporkan masih bergerak dalam keadaan lemah.

Beliau mendakwa berdasarkan keadaan pakaian mangsa, tudung yang dipakai Irene Sofiya kelihatan seperti disentap dari belakang ketika mangsa cuba melarikan diri sebelum kepalanya dipercayai dihentak menggunakan objek keras.

Menurut Nur Faeza, anak saudaranya seorang yang pendiam dan sangat mementingkan pelajaran serta bercita-cita menjadi doktor seperti arwah ibunya yang meninggal dunia kira-kira enam tahun lalu.

Katanya, Irene Sofiya juga tidak berminat mempunyai teman lelaki kerana mahu memberikan tumpuan kepada pelajaran.

Mangsa turut disifatkan sebagai pelajar cemerlang yang sering memperoleh tempat pertama atau kedua dalam tingkatan dan berpotensi memperoleh keputusan 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Sementara itu, Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad berkata, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun direman selama enam hari bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Suspek ditahan kira-kira jam 7 malam kelmarin di sekitar Pekan Yong Peng selepas polis menerima laporan mengenai kejadian itu.

“Polis turut merampas sebuah telefon bimbit, sebuah beg, sepasang pakaian dan sepasang selipar bagi membantu siasatan,” katanya.

Ab. Rahaman berkata, mangsa dipercayai mengalami kecederaan akibat dihentak menggunakan objek keras, namun perkara itu masih dalam siasatan.

Proses bedah siasat terhadap mayat mangsa dijalankan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, manakala motif sebenar kejadian masih dalam siasatan polis.