KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah memberi tumpuan kepada usaha mendapatkan pembekalan 45,000 unit laptop (komputer riba) selain menyediakan kemudahan Starlink serta sistem tenaga solar di 68 sekolah yang masih berdepan kekangan capaian internet dan bekalan elektrik dalam usaha memperkasa pendigitalan pendidikan di negeri ini.
Pengerusi Sabah Urban Development Corporation (SUDC) merangkap ADUN Pantai Manis, Datuk Pengiran Saifuddin Pengiran Tahir berkata, pelaksanaan papan pintar di sekolah-sekolah seluruh Sabah secara berperingkat turut menjadi antara fokus yang digariskan bagi tahun 2026.
“Usaha ini bukan sahaja memberi manfaat kepada murid, tetapi turut membantu guru melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran dengan lebih moden dan berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Legasi Gemilang Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Papar di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu, baru-baru ini.
Pengiran Saifuddin berkata, usaha memperkasa pendidikan itu merupakan sebahagian daripada komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan anak Sabah mendapat pendidikan berkualiti dan saksama.
Menurutnya, sepanjang 2021 hingga 2025, Kerajaan Negeri membelanjakan RM210.25 juta bagi melaksanakan pelbagai inisiatif bantuan pendidikan yang memberi manfaat kepada ratusan ribu pelajar, sekolah dan persatuan pendidikan di seluruh Sabah.
Bagi 2025 sahaja, sebanyak RM75.5 juta diperuntukkan bagi melaksanakan 13 inisiatif bantuan pendidikan.
“Ini bukan angka yang kecil, tetapi satu pelaburan besar bagi memastikan lebih ramai anak Sabah mendapat akses kepada pendidikan berkualiti serta bantuan yang diperlukan untuk meneruskan pengajian,” katanya.
Beliau berkata, komitmen berkenaan diteruskan menerusi Belanjawan Sabah 2026 apabila kesemua 13 inisiatif sedia ada dikekalkan dan ditambah satu inisiatif baharu, Bantuan Pendaftaran Yuran MUET (BAYU).
Bantuan RM150 seorang itu disasarkan kepada 8,458 pelajar prauniversiti yang menduduki peperiksaan MUET dengan anggaran peruntukan RM1.27 juta, sekali gus menjadikan keseluruhan 14 inisiatif bantuan pendidikan dilaksanakan tahun ini.
Dalam pada itu, Pengiran Saifuddin berkata, Kerajaan Negeri turut menyediakan beberapa bentuk sokongan kepada sekolah termasuk Bantuan Aktiviti Guru dan Ibu Bapa Sabah (BAGUS), Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (BISBAH), Bantuan Penyelenggaraan Kecil Sekolah (BALKIS) serta Bantuan Khas Program Pendidikan (BANTU).
Melalui Sumbangan Kegiatan Sekolah Sabah (SUKSES), bantuan secara one-off sebanyak RM3,000 diberikan kepada setiap sekolah bagi membantu pelaksanaan aktiviti dan memenuhi keperluan sekolah.
Pengiran Saifuddin berkata, kemudahan dan bantuan berkenaan bukan sekadar sokongan kepada institusi sekolah, sebaliknya turut membantu warga pendidik memberikan tumpuan lebih baik terhadap tugas mendidik dan membentuk masa depan anak-anak Sabah.
“Apabila sekolah mempunyai kemudahan yang lebih baik, sumber yang mencukupi dan ruang untuk melaksanakan program, guru juga dapat memberikan tumpuan yang lebih baik kepada tugas utama mereka, iaitu mendidik dan membentuk masa depan anak-anak kita,” katanya.






