SEMPORNA: Seorang pelancong wanita warga China berusia 66 tahun meninggal dunia selepas mengalami masalah kesihatan ketika melakukan aktiviti snorkeling bersama keluarganya di perairan Pulau Pom Pom, di sini, Ahad.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Tan Hiap Wah berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari ketika mangsa sedang melakukan aktiviti snorkeling bersama ahli keluarganya.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa mengadu berasa tidak selesa sebelum meminta untuk dibawa naik ke atas bot.
“Apabila berada di atas bot, mangsa didapati sudah tidak sedarkan diri.
“Mangsa diberikan bantuan pernafasan (CPR), namun tiada tindak balas sebelum dibawa ke Hospital Semporna untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tan berkata, pemeriksaan doktor di Wad Kecemasan Hospital Semporna kemudian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.
Menurutnya, mangsa berasal dari Yunnan, China dan mempunyai sejarah penyakit asma sejak kira-kira 10 tahun lalu.
Susulan kejadian itu, polis menasihatkan pengusaha pelancongan supaya sentiasa memberi perhatian terhadap aspek keselamatan pelancong, khususnya ketika menjalankan aktiviti di laut.
“PDRM turut menyeru saksi kejadian untuk tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintenden Mohammad Ali Amat di talian 013-2120852.






