Kota Kinabalu – Ketua Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Darau, Datuk Mohammed Razali Razi menegaskan bahawa sambutan Hari Kebangsaan perlu dijadikan wadah penyatuan rakyat, bukannya medan perpecahan meskipun berdepan dengan pelbagai isu yang dibangkitkan masyarakat, termasuk slogan “No Justice, No Merdeka” yang kini hangat diperkatakan.
Razali berkata, walaupun isu keadilan yang digemakan rakyat tidak boleh dipandang remeh, namun semangat kebersamaan pada Hari Kebangsaan mesti tetap dipelihara.
“Kita faham ada isu-isu besar yang sedang dibincangkan, tetapi jangan sampai kita lupa tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia.
“Hari Kebangsaan adalah hari penting untuk kebersamaan, jangan kita alih fokus sehingga hilang erti sebenar kemerdekaan,” katanya pada sidang media selepas program pengagihan Jalur Gemilang di pekan Manggatal, hari ini.
Mengulas kontroversi pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik di Semenanjung, beliau menjelaskan bahawa Sabah menampilkan suasana berbeza kerana masyarakat negeri ini mengamalkan keharmonian dalam kepelbagaian.
“Di Sabah kita hormati kepelbagaian, dan bila ada hormat itu, barulah perpaduan tercapai. Orang Sabah adalah cerminan Malaysia sebenar kerana walaupun kita berbilang kaum, bangsa dan agama, kita tetap hidup dalam suasana harmoni,” jelasnya.
Razali menegaskan, budaya toleransi dan semangat perpaduan yang sekian lama diamalkan di Sabah wajar dijadikan teladan seluruh rakyat Malaysia, agar makna kemerdekaan tidak dicemari dengan perselisihan yang boleh memecahbelahkan rakyat.






