GRS Kuamut Sedia Hadapi PRN-17 – Masiung

GRS Kuamut Sedia Hadapi PRN-17 – Masiung

0
SHARE

TONGOD: Empat parti utama dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Kuamut kini berada pada tahap persiapan akhir menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17), dengan tekad mempertahankan dominasi gabungan itu di kawasan berkenaan.

Pengerusi GRS Kuamut, Datuk Masiung Banah, berkata jentera parti telah dilengkapkan sepenuhnya bagi menyahut cabaran lawan. Katanya, usaha ini selaras dengan misi GRS untuk mempertahankan kerusi DUN Kuamut dengan majoriti lebih besar.

“Sebagai langkah kesiapsiagaan, GRS yang dipayungi Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) telah memulakan gerak kerja di seluruh kawasan Kuamut sejak tiga tahun lalu. 

“Misi kita jelas, mempertahan kerusi GRS di Kuamut dan menambah kekuatan menjelang PRN-17,” katanya selepas menghadiri taklimat agen pusat mengundi dan agen pengiraan undi di Dewan Simpang Entilibon, pada Ahad lalu.

Turut hadir, Pengarah Sekretariat Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Abdul Kassim Razali, yang mengetuai delegasi pegawai latihan dan penceramah dari Kota Kinabalu.

Menurut Masiung, GRS Kuamut tidak hanya bergantung kepada laporan Sekretariat War Room, sebaliknya telah melaksanakan kerja turun padang lebih setahun lalu.

Masiung yang juga Naib Presiden Gagasan Rakyat menjelaskan, sebuah jawatankuasa bersama telah dibentuk di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) bagi memastikan persiapan kempen berjalan lancar dan tersusun.

Antara ketua bahagian parti gabungan yang hadir ialah Mandik Yadam (STAR), James Aik (Usno) dan Dusin Janis (PBS).

Seramai 300 ahli jawatankuasa jentera utama GRS turut menghadiri sesi ceramah dan taklimat akhir itu.

Kesemua mereka berikrar memberi sokongan padu kepada calon GRS yang bakal bertanding mempertahankan kerusi Kuamut dalam PRN-17.