Acara Larian Hujung Minggu, Kuarters Flat KM5 Likas Jangan Dijadikan Parkir Peserta...

Acara Larian Hujung Minggu, Kuarters Flat KM5 Likas Jangan Dijadikan Parkir Peserta – Taufiq

0
SHARE

KOTA KINABALU: Penganjur acara larian di sekitar Kompleks Sukan Likas diminta memastikan kawasan kuarters Flat Persekutuan KM5 Likas tidak dijadikan tempat parkir peserta sehingga mengganggu ketenteraman dan hak penghuni, khususnya ketika acara berlangsung pada hujung minggu.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Flat Persekutuan KM5 Likas, Abang Mohd Taufiq berkata, masalah itu sering berlaku apabila acara marathon atau larian dianjurkan pada Sabtu atau Ahad dengan peserta mula tiba di kawasan berkenaan seawal waktu Subuh.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan sebahagian peserta menggunakan kawasan parkir di dalam kuarters walaupun ia merupakan kawasan kediaman kerajaan dan bukannya parkir awam.

“Kami faham acara larian biasanya diadakan pada awal pagi hujung minggu. Kami juga tidak menghalang atau membantah penganjuran acara seperti ini.

Tetapi yang menjadi masalah ialah apabila peserta mula masuk ke kawasan kuarters seawal waktu Subuh dan menggunakan tempat parkir penghuni,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Taufiq berkata, kemasukan kenderaan luar dalam jumlah yang banyak turut menyebabkan kawasan kediaman menjadi sesak dan tidak teratur, sekali gus mengganggu penduduk yang mahu berehat bersama keluarga pada hujung minggu.

Lebih membimbangkan, katanya, terdapat peserta yang menggunakan petak parkir yang sepatutnya digunakan penghuni kuarters.

“Ada penghuni bangun pagi dan mendapati tempat parkir mereka sudah diambil oleh orang luar. Apabila hendak keluar atau menggunakan kenderaan, mereka pula terpaksa mencari tempat lain untuk meletakkan kereta.

“Kawasan ini adalah kawasan kediaman. Setiap penghuni mempunyai keperluan untuk menggunakan ruang parkir mereka sendiri. Jangan kerana acara diadakan di kawasan berhampiran, kuarters penduduk pula dijadikan tempat parkir awam,” katanya.

Sehubungan itu, Taufiq meminta pihak berkuasa tempatan (PBT), agensi berkaitan serta penganjur acara mengambil langkah lebih teratur dalam menguruskan parkir dan pergerakan kenderaan peserta.

Beliau mencadangkan penganjur menyediakan kawasan parkir khas, memasang papan tanda yang jelas serta menempatkan petugas kawalan trafik bagi mengelakkan peserta memasuki kawasan kuarters untuk meletakkan kenderaan.

Taufiq menegaskan penduduk tidak membantah penganjuran acara larian yang memberi manfaat kepada masyarakat, namun pada masa sama hak penghuni untuk menikmati ketenteraman serta menggunakan kemudahan parkir perlu dihormati.

“Kami mahu perkara ini diselesaikan dengan baik. Kami bukan menentang acara larian dan kami faham ia merupakan aktiviti yang baik untuk masyarakat.

“Kami cuma minta satu perkara, kalau ada acara larian, sila sediakan parkir untuk peserta. Jangan jadikan kawasan kuarters kami sebagai parkir awam,” katanya.