KUALA LUMPUR: Kerajaan meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan gelombang jerebu merentas sempadan yang lebih serius susulan fenomena El Niño yang semakin menguat dan tempoh cuaca kering dijangka berpanjangan.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) memandang serius situasi jerebu yang melanda negara sejak 8 Ogos lalu, khususnya membabitkan Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Menurutnya, keadaan itu berpunca daripada fenomena El Niño yang semakin menguat serentak dengan Monsun Barat Daya sehingga menyebabkan pengurangan taburan hujan serta cuaca lebih panas dan kering.
“Fenomena El Niño dengan intensiti yang semakin kuat ini merupakan cabaran hebat, khususnya bagi negara yang mempunyai kawasan tanah gambut yang sangat luas dan dalam.
“NRES akan terus memantau keadaan sebagai langkah kesiapsiagaan bagi menghadapi kemungkinan berlakunya gelombang jerebu merentas sempadan susulan yang lebih serius,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Arthur berkata, setakat jam 12 tengah hari, empat kawasan merekodkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat, masing-masing Kuching, Samarahan dan IPD Serian di Sarawak serta Johan Setia di Semenanjung.
Kawasan lain pula merekodkan bacaan IPU sederhana, manakala keadaan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dilaporkan semakin pulih.
Menurut Arthur, persediaan menghadapi El Niño dan Monsun Barat Daya sudah dimulakan sejak Jun lalu menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Induk Jerebu dan Cuaca Kering Kebangsaan.
Semua pihak termasuk kerajaan negeri sudah dimaklumkan mengenai kemungkinan kesan El Niño terhadap sektor pertanian, penyusutan paras air empangan serta peningkatan risiko pembakaran terbuka dan jerebu.
Tindakan berkaitan akan dilaksanakan berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) dan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan (PTPTK).
Arthur berkata, Malaysia turut meningkatkan kerjasama serantau bagi menangani risiko jerebu merentas sempadan termasuk menerusi Mesyuarat Ke-27 Ministerial Steering Committee (MSC) dan Technical Working Group (TWG) Mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan di Bali, Indonesia pada 8 dan 9 Julai lalu.
Beliau turut mengadakan perbincangan dua hala dengan Menteri Lingkungan Hidup Indonesia mengenai usaha memantau dan mengekang peningkatan titik panas serta kebakaran yang berpotensi menyebabkan jerebu merentas sempadan.
Katanya, laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) pada Mesyuarat Ke-37 Pegawai-Pegawai Kanan Alam Sekitar ASEAN (ASOEN) baru-baru ini turut meramalkan fenomena El Niño lebih kuat berbanding 2025 dengan tempoh kering lebih panjang.
Keadaan itu dijangka meningkatkan potensi kejadian jerebu merentas sempadan.
“Malaysia dan Indonesia komited untuk melipatgandakan usaha mengatasi kebakaran dan keadaan jerebu pada masa ini,” katanya.
Menurut Arthur, Tahap Amaran 2 di bawah inisiatif Perjanjian ASEAN Mengenai Jerebu Merentas Sempadan sudah diaktifkan sejak 3 Ogos lalu.
Susulan pengaktifan itu, negara-negara di selatan rantau ASEAN perlu mengemukakan laporan harian dan tindak balas kecemasan berkaitan kejadian kebakaran, jerebu serta tindakan yang dilaksanakan.
NRES bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) akan terus memantau perkembangan cuaca, kualiti udara serta situasi jerebu dari semasa ke semasa.
Orang ramai di kawasan terjejas pula dinasihatkan mengurangkan aktiviti di luar bangunan, memakai pelitup muka dan minum air secukupnya bagi mengelakkan dehidrasi.






