GRS Tetap Kukuh Meskipun Ada Pemimpin Keluar Parti – Hajiji

GRS Tetap Kukuh Meskipun Ada Pemimpin Keluar Parti – Hajiji

0
SHARE

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), menegaskan bahawa gabungan itu kekal utuh dan kuat meskipun terdapat segelintir pemimpin yang bertindak meninggalkan parti menjelang Pilihan Raya Umum Dewan Undangan (PRU DU) Sabah ke-17.

Menurut beliau, tindakan beberapa individu yang memilih untuk berpindah parti atau bertanding sebagai calon Bebas merupakan hak masing-masing dan tidak menjejaskan kekuatan GRS dalam menghadapi pilihan raya kali ini.

“GRS masih intact, masih kuat. Ada yang pindah parti, ada yang jadi calon Bebas, itu hak mereka. Tapi itu tidak menjejaskan kekuatan GRS dalam pilihan raya kali ini. Kita juga ada strategi sendiri,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Manifesto GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), pada Isnin.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas perkembangan terbaharu melibatkan beberapa pihak yang menarik diri daripada gabungan tertentu.

Mengulas mengenai calon Pakatan Harapan (PH) yang membuat keputusan menarik diri, Hajiji berkata perkara itu adalah urusan dalaman PH dan beliau tidak mahu mengulas lanjut.

“Itu dia tarik diri, itu parti PH. Saya tidak mahu komen,” katanya ringkas.

Bagaimanapun, Hajiji tidak menolak kemungkinan bahawa tindakan tersebut memberi sedikit kelebihan kepada GRS di beberapa kerusi yang ditandingi.

Beliau menegaskan bahawa fokus utama GRS kini adalah memastikan kestabilan politik, kesinambungan pembangunan, serta memperoleh mandat jelas daripada rakyat Sabah bagi meneruskan agenda pembangunan negeri.