Polis Melaka Mula Periksa Telefon Pelajar Untuk Kandungan Lucah

Polis Melaka Mula Periksa Telefon Pelajar Untuk Kandungan Lucah

0
SHARE

MELAKA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini melaksanakan pemeriksaan mengejut di sekolah setiap hari bagi memeriksa beg, bilik darjah dan telefon bimbit pelajar bagi memastikan tiada bahan terlarang atau lucah dibawa ke sekolah.

Langkah ini susulan arahan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, bagi memperhebat rondaan polis di sekolah dalam usaha mengekang jenayah juvana di seluruh negara.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, operasi melibatkan 336 sekolah di negeri itu dan akan dijalankan secara berterusan.

“Lebih baik anak-anak menangis sekarang daripada kita menangis kemudian,” katanya ketika mengetuai pemeriksaan di sebuah sekolah di Bukit Baru semalam.

Beliau menjelaskan, pemeriksaan tertumpu kepada pencegahan, pendidikan dan penguatkuasaan bagi memastikan persekitaran sekolah kekal selamat.

Telefon pelajar juga akan diperiksa sekiranya disyaki mengandungi bahan terlarang.

Menurutnya, kebanyakan kes jenayah juvana berpunca daripada masalah keluarga, bukan sekolah, dan ibu bapa perlu memainkan peranan memantau anak-anak.

Setakat Januari hingga September tahun ini, 68 kes jenayah pelajar direkodkan di Melaka berbanding 91 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Langkah memperketat keselamatan sekolah turut disokong Kementerian Pendidikan yang mengumumkan pemasangan tambahan kamera CCTV bernilai RM5 juta serta penempatan lebih 10,000 guru baharu termasuk 500 kaunselor mulai November.

Sebanyak 600 pembantu warden asrama turut dilantik bagi meningkatkan pemantauan keselamatan pelajar.