KOTA KINABALU: Seramai 36 pelajar Kolej Matrikulasi Labuan (KML) berpeluang memperkukuh penguasaan bahasa Inggeris mereka melalui Matriculation English Immersion Programme (MEIP) anjuran Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan (FPPS), Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini.
Program selama tiga hari itu bertujuan meningkatkan kemahiran komunikasi pelajar menjelang peperiksaan Malaysian University English Test (MUET) melalui pendekatan pembelajaran yang menyeronokkan, interaktif dan berasaskan situasi sebenar.
Timbalan Pengarah KML, Syahmun Yahaya berkata, inisiatif seperti MEIP penting bagi membina keyakinan pelajar untuk bertutur dalam bahasa Inggeris dengan lebih fasih dan berkesan.
“Bahasa Inggeris merupakan kunci kepada peluang yang lebih luas, sama ada dalam bidang akademik mahupun kerjaya. Pelajar perlu membiasakan diri menggunakan bahasa ini dalam komunikasi harian,” katanya.
Program yang dikendalikan oleh sembilan fasilitator UMS terdiri daripada mahasiswa dan pensyarah FPPS turut melibatkan pelbagai aktiviti kumpulan, perbincangan terbuka, dan simulasi komunikasi yang direka bagi menambah kefahaman pelajar terhadap penggunaan bahasa dalam konteks kehidupan sebenar.
Peserta program merupakan pelajar pada tahap CEFR B1, selaras dengan ketetapan Bahagian Matrikulasi, Kementerian Pendidikan Malaysia (BMKPM).
Turut hadir dalam program tersebut ialah Ketua Program Pendidikan TESL, Dr. Megawati Soekarno; Ketua Unit Bahasa Inggeris, Atlas Besik Niyo; dan penyelaras program, Zaherah Abdul Rahim.
MEIP merupakan antara usaha berterusan FPPS-UMS dalam menyokong agenda nasional memperkukuh penguasaan bahasa Inggeris di peringkat prauniversiti, bagi melahirkan generasi pelajar yang yakin, fasih dan berdaya saing di peringkat global.






