10 Tangki Sedutan Air Baharu Perkukuh Bekalan, Legakan Penduduk Puncak Gloxinia

10 Tangki Sedutan Air Baharu Perkukuh Bekalan, Legakan Penduduk Puncak Gloxinia

0
SHARE

PAPAR: Kerajaan akan membina 10 unit tangki sedutan air jenis HDPE berkapasiti 10,000 gelen setiap satu di Kondominium Puncak Gloxinia, Kinarut bagi memperkukuh kapasiti simpanan bekalan air sekali gus mengurangkan kesan gangguan bekalan yang sekian lama membelenggu 1,296 unit kediaman di kawasan berkenaan.

Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, projek itu merupakan susulan kepada Taklimat Penstabilan Bekalan Air Daerah Papar kepada Ketua Menteri Sabah pada 28 Julai lalu yang turut memfokuskan kemajuan dua projek penyelesaian jangka panjang iaitu Projek Naik Taraf Muka Sauk Kampung Kabang dan Projek Naik Taraf Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berkata, kedua-dua projek berkenaan disasarkan mula beroperasi masing-masing pada September dan November tahun ini bagi menstabilkan bekalan air di seluruh Parlimen Papar.

“Hari ini saya meninjau lokasi pembinaan 10 unit tangki sedutan jenis HDPE berkapasiti 10,000 gelen di Puncak Gloxinia yang merupakan antara tindakan susulan hasil taklimat penstabilan bekalan air kepada Ketua Menteri Sabah.

“Selain projek naik taraf Muka Sauk Kampung Kabang dan LRA Kogopon yang sedang dilaksanakan sebagai penyelesaian jangka panjang, pembinaan tangki tambahan ini akan membantu meningkatkan kapasiti simpanan air supaya penduduk dapat menikmati bekalan untuk tempoh yang lebih lama sekiranya berlaku gangguan sementara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Armizan, Puncak Gloxinia yang mula diduduki pada penghujung 2018 merangkumi enam blok dengan keseluruhan 1,296 unit kediaman dan merupakan kawasan yang paling terkesan setiap kali berlaku gangguan bekalan di LRA Kogopon kerana terletak di penghujung saluran penerima air bagi tangki utama P3.

Katanya, keadaan menjadi lebih mencabar memandangkan setiap blok kondominium mempunyai 18 tingkat, menyebabkan penghuni berdepan kesukaran mendapatkan bekalan air apabila gangguan berlaku.

“Walaupun terdapat 24 tangki simpanan atas sedia ada, kapasiti itu masih tidak mencukupi untuk menampung keperluan penghuni apabila berlaku gangguan bekalan.

“Berbeza dengan kawasan perumahan biasa, penghuni pangsapuri bertingkat terpaksa mengangkut air dari aras bawah ke kediaman masing-masing apabila bekalan terputus,” katanya.

Beliau berkata, selain pembinaan 10 tangki sedutan baharu, Jabatan Air Negeri Sabah turut akan memasang paip penghubung sepanjang 600 meter bagi meningkatkan kecekapan sistem agihan air di kawasan berkenaan.

“Pertambahan kapasiti simpanan ini membolehkan stok bekalan air disalurkan kepada penghuni untuk tempoh yang lebih lama sekiranya berlaku gangguan sementara, sekali gus membantu menangani isu yang membebani penduduk sejak sekian lama,” katanya.

Armizan berkata, pelaksanaan projek itu melengkapkan usaha kerajaan dalam memperkukuh sistem bekalan air di Papar sementara menunggu dua projek utama penstabilan bekalan air siap sepenuhnya, sekali gus memberi manfaat jangka panjang kepada penduduk di kawasan berkenaan.