KOTA KINABALU: SuriaGroup menanam lebih 200 pokok buah-buahan di Kampung Kobuni, Inanam menerusi program komuniti yang bertujuan meningkatkan sekuriti makanan dan kelestarian alam sekitar.
Inisiatif bersama Malaysian Relief Agency (MRA) Sabah itu melibatkan kira-kira 50 sukarelawan daripada Suria Capital Holdings Berhad dan Sabah Ports Sdn Bhd, dengan kerjasama penduduk kampung.
Antara pokok yang ditanam ialah durian Musang King, cempedak, mangga, longan, rambutan, limau dan kopi robusta yang dipilih berdasarkan nilai ekonomi dan khasiatnya.
SuriaGroup memaklumkan program itu dijangka memberi manfaat kepada hampir 400 isi rumah, selain membantu mencegah hakisan tanah serta meningkatkan biodiversiti setempat.
Program berkenaan dirasmikan oleh Ketua Hal Ehwal Korporat dan Komunikasi Kumpulan SuriaGroup, Julia Ismail yang menekankan kepentingan kerjasama antara korporat, agensi dan komuniti dalam menjayakan impak jangka panjang.
“Program hari ini mencerminkan komitmen kami terhadap pemuliharaan alam sekitar dan kelangsungan ekonomi komuniti setempat,” katanya.






