SEMPORNA: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Sabah berjaya melumpuhkan satu sindiket pengedaran dadah menerusi dua operasi berasingan di Tawau dan Semporna pada 12 dan 13 Julai lalu dengan rampasan lebih 329 kilogram disyaki syabu bernilai kira-kira RM16.46 juta.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, operasi berkenaan membawa kepada rampasan sebanyak 329.216 kilogram dadah yang dipercayai syabu, selain penahanan enam suspek yang disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah.
Beliau berkata, polis turut merampas wang tunai, telefon bimbit, kenderaan serta pelbagai barangan lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti sindiket berkenaan.
“Kejayaan ini membuktikan komitmen berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya JSJN Sabah, dalam membanteras kegiatan pengedaran dadah yang menjadi ancaman besar kepada keselamatan dan kesejahteraan masyarakat,” katanya pada sidang media di Semporna, hari ini.
Jauteh berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti dalang serta rangkaian sindiket yang masih bebas.
Beliau turut menegaskan bahawa JSJN Sabah akan terus mempergiat usaha membanteras jenayah dadah melalui operasi berterusan, risikan dan kerjasama pelbagai agensi bagi memastikan sindiket pengedaran dadah dapat dilumpuhkan sepenuhnya.
“JSJN Sabah akan terus komited memerangi jenayah dadah demi melindungi masyarakat, khususnya generasi muda, daripada ancaman penyalahgunaan dan pengedaran dadah,” katanya.






