Cubaan 7 PATI Indonesia Termasuk Kanak-Kanak Masuk Ke Sabah Digagalkan

Cubaan 7 PATI Indonesia Termasuk Kanak-Kanak Masuk Ke Sabah Digagalkan

0
SHARE

TAWAU, SABAH – Cubaan TUJUH (7) Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) Indonesia menyusup masuk ke Sabah melalui Kampung Kurnia Jaya di Batu 4 Jalan Apas di sini dipatahkan pihak berkuasa semalam.

Cubaan kira-kira jam 8.30 malam itu digagalkan oleh Tim OP Cegah Pati (OCP) Daratan Sektor Selatan yang terdiri daripada Tim OCP Daratan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) dan empat (4) anggota tentera bawah pemerintahan Komander Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2).

Komander ATB 2, Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata, bertindak atas maklumat risikan, pihak mereka telah mengesan sebuah kenderaan jenis Proton Iswara berwarna hijau dipercayai membawa PATI sedang bergerak keluar daripada kampung tersebut.

PATI terbabit baru sahaja sampai dari Pulau Sebatik, Indonesia menggunakan bot yang diatur agen.

Beberapa PATI kelihatan mendukung anak mereka dalam kereta agen tempatan ketika ditahan pihak berkuasa sewaktu dalam perjalanan ke lokasi yang ditetapkan…

“Pasukan operasi telah bertindak mengekori dan menahan kenderaan tersebut sehinggalah berhampiran bangunan kedai di Jalan Habib Sheikh, Sabindo…

“Pemandu kereta, seorang warganegara lelaki Malaysia berusia 58 tahun turut ditahan bersama kesemua PATI tersebut.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua PATI tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah cuba memasuki Malaysia secara haram melalui perairan Tawau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mereka terdiri daripada seorang lelaki dewasa berusia 36 tahun, tiga (3) wanita dewasa berusia antara 27 hingga 38 tahun serta dua (2) kanak-kanak lelaki berusia 2 dan 4 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan berusia 8 tahunyang ditemui bersama barang persendirian.

Abdul Karim berkata kes disiasat di bawah Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63 iaitu berada di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah.

“Pemandu dan penumpang berserta kenderaan telah di bawa ke Pangkalan Pasukan Polis Marin Tawau untuk tindakan lanjut lalu diangkut ke Ibu Pejabat Polis Tawau pada jam 9.00 malam…

“Kesemua PATI diserahkan kepada IPD Tawau bagi tujuan soal siasat dan laporan polis serta proses saringan COVID-19 dan tindakan selanjutnya,” tambahnya.