Sabah Kekal Status Negeri Karbon Negatif – Ketua Menteri

Sabah Kekal Status Negeri Karbon Negatif – Ketua Menteri

0
SHARE

SOOK: Sabah masih mengekalkan status sebagai net carbon sink atau negeri karbon negatif berdasarkan data inventori gas rumah hijau serta laporan terkini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Status ini disokong oleh keluasan kawasan berhutan yang signifikan di negeri ini, yang menyumbang secara besar kepada kapasiti penyerapan karbon negara,” katanya pada perasmian Hari Hutan Antarabangsa Kebangsaan di Dataran Sook pada Sabtu.

Menurut beliau peranan hutan dalam mengurangkan impak pemanasan global akibat Perubahan Iklim menjadi sangat kritikal kerana hutan berfungsi sebagai “carbon sink”, iaitu kawasan yang menyerap lebih banyak karbon dioksida yang dilepaskan ke atmosfera, seterusnya membantu menstabilkan sistem iklim global.

Secara tidak langsung, hutan yang telah dikenalpasti sebagai penyumbang kepada aktiviti karbon khususnya hutan paya dan bakau boleh dikembangkan dalam sektor ekonomi alam semulajadi selaras dengan pembangunan sektor Blue Economy dan Green Economy di peringkat negeri, katanya.

Katanya lagi, pendekatan pengurusan hutan secara inklusif yang melibatkan komuniti mampu mencapai keseimbangan antara pemuliharaan alam sekitar dan kesejahteraan sosio-ekonomi rakyat.

Ini terbukti melalui inisiatif Jabatan Perhutanan Sabah melaksanakan projek-projek bersama komuniti setempat di bawah Tabung Projek Pemulihan Hutan, katanya.

Program berasaskan komuniti ini termasuklah program penanaman semula hutan terosot melalui pendekatan pemulihan landskap hutan, pemulihan kawasan tadahan air, serta pembangunan sumber pendapatan alternatif berasaskan hasil hutan bukan kayu seperti madu kelulut dan rotan.

Usaha Kerajaan Negeri turut dibantu melalui penyaluran peruntukan berterusan di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) dan juga Tabung Ecological Fiscal Transfer (EFT), katanya.

“Saya dimaklumkan, di bawah Rolling Plan-One (RP-1), Jabatan Perhutanan Sabah telah diperuntukkan sebanyak RM70.8 juta bagi tujuan pelaksanaan projek-projek perhutanan di Sabah, dalam tempoh RMK13.

“Melalui EFT pula, Sabah adalah di antara wilayah penerima dana terbesar, iaitu sebanyak RM126.36 juta sejak tahun 2019. Dana ini telah digunakan untuk melaksanakan projek konservasi biodiversiti. Ini juga menunjukkan pengiktirafan daripada Kerajaan Persekutuan ke atas usaha konservasi yang dijalankan di wilayah ini,” katanya.

Hajiji berkata tema Hari Hutan Antarabangsa, “Hutan dan Ekonomi”, amat bertepatan bagi menonjolkan peranan hutan bukan sahaja sebagai khazanah alam, tetapi juga sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Sementara itu, Hajiji mengalu-alukan pemilihan daerah Sook sebagai hos kepada majlis ini di luar kawasan ibu negara yang membuka ruang dan peluang kepada rakyat di pedalaman untuk sama-sama meraikan Hari Hutan Antarabangsa peringkat kebangsaan.

“Ini tentunya atas inisiatif dan sokongan padu daripada Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup, selaku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Malaysia.

“Kebetulan juga Sook ini baharu juga dinaiktaraf dan diwartakan sebagai daerah penuh pada April tahun lalu; dan hari ini mendapat penghormatan sebagai tuan rumah untuk sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Kebangsaan. Tahniah kepada dearah dan penduduk Sook,” katanya.