Persatuan Wartawan Gesa Kerajaan Jangan Sekat Kebebasan Bersuara Pihak Pembangkang

Persatuan Wartawan Gesa Kerajaan Jangan Sekat Kebebasan Bersuara Pihak Pembangkang

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Dua persatuan wartawan menggesa Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) agar tidak menyekat kebebasan media lidah rasmi PAS, Harakah Daily, yang mula menerbit sejak tahun 1987.

Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJM) berkata tindakan itu mesti mengambil kira kebajikan wartawan yang terlibat dalam pembatalan pas media oleh Jabatan Penerangan pada Selasa lalu.

Setiausaha Agung NUJM, Teh Athira Mohamed Yusof berkata pihaknya bimbang wartawan terbabit tidak dibenarkan menjalankan tugas, tidak dibayar gaji sekali gus menjejaskan mata pencarian mereka.

Menurut Teh, kesatuan itu memandang serius tindakan keras kerajaan terhadap organisasi media serta kakitangannya sejak kebelakangan ini yang dilihat menjejaskan kebebasan akhbar.

“Ia telah menjejaskan demokrasi dan kebebasan akhbar yang diamalkan di Malaysia sejak kemerdekaannya…

“Kami berharap Jabatan Penerangan mempunyai penjelasan. Jika memang terdapat sebarang laporan palsu oleh penerbitan, tindakan selanjutnya hendaklah diambil mengikut undang-undang dan peraturan.

“Kerajaan perlu menyegerakan penubuhan Majlis Media Malaysia bagi memastikan kejadian seperti itu tidak berulang dan nasib petugas media terbela,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Tindakan sekatan itu dibuat susulan artikel Harakah pada 6 Nov yang mendakwa kerajaan “ragu-ragu” dalam menyokong perjuangan Palestin.

Sementara itu, Gerakan Media Merdeka (GERAMM) menyifatkan tindakan kerajaan menyekat kebebasan media itu adalah sama dengan yang selama ini dilaungkan ketika menjadi pembangkang.

“Tindakan ke atas sebuah syarikat media, walaupun dimiliki oleh sebuah parti pembangkang haruslah dilakukan dengan sebab yang kuat, jelas dan telus oleh kerajaan,” kata kumpulan media itu dalam kenyataan baru-baru ini.

Pada 1997, perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad yang juga Menteri Dalam Negeri menyekat penjualan Harakah secara terbuka dengan edaran terhad untuk ahli PAS sahaja.

Pada Rabu lalu Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari, berkata Harakah sudah membuat rayuan berhubung perkara itu.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil kemudian berkata kerajaan sedia memaafkan akhbar tersebut sambil berkata kerajaan bersedia untuk mempertimbangkannya.

Fahmi Fadzil…