Anwar Tiba Di Riyadh, Hadiri Sidang Kemuncak Tergempar OIC

Anwar Tiba Di Riyadh, Hadiri Sidang Kemuncak Tergempar OIC

0
SHARE
Anwar
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ( Sumber Foto: Laman media sosial rasmi Facebook Perdana Menteri )

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Riyadh, Arab Saudi bagi menghadiri Sidang Kemuncak Tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Ke-8, hari ini.

Memetik sumber Berita Harian, perkara itu dimaklumkan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dalam ciapannya di X (Twitter) hari ini.

“Alhamdulillah selamat tiba di Riyadh!. Awal pagi tadi saya mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Riyadh.

“Insya-Allah hari ini Perdana Menteri akan hadiri Sidang Kemuncak Pemimpin Negara OIC bagi membincangkan isu kezaliman Israel terhadap Palestin.

“Mohon doa berterusan daripada rakyat Malaysia untuk Palestin,” katanya.

Kementerian Luar menerusi kenyataan semalam memaklumkan Anwar akan mengetuai delegasi Malaysia ke OIC, antara lain untuk membincangkan serangan dan kekejaman berterusan rejim Israel ke atas Palestin khususnya Gaza.

Sidang kemuncak berkenaan didahului dua mesyuarat persediaan, iaitu Mesyuarat Persediaan di Peringkat Menteri yang berlangsung hari ini, sementara semalam, Mesyuarat Persediaan Pegawai-Pegawai Kanan sudah diadakan.

Kementerian Luar turut berkata, sidang kemuncak terbabit adalah keberhasilan daripada kerjasama utuh Perdana Menteri bersama beberapa pemimpin OIC.