PENAMPANG, SABAH – Kerajaan harus memberi perhatian serius isu salah guna alkohol dan dadah dengan membina sebuah pusat pemulihan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan, Jannie Lasimbang mengatakan demikian semasa Bengkel Kesedaran Kesihatan Teknikal Seni Sarkas dengan kerjasama Edulife Berhad dan Association for the Prevention of Alcohol Misuse (APAM) yang dibiayai melalui peruntukan ADUN beliau.
Bengkel yang dilaksanakan pada Sabtu bertempat di Dewan Hintun Toiva Kampung Kobusak sini yang telah dihadiri lebih daripada 60 orang komuniti sekitar Kapayan, Penampang dan Kota Kinabalu.
Program tersebut bertujuan memberi kesedaran dan penerangan mengenai teknik sarkas di kalangan komuniti serta memperkenalkan kesedaran kesihatan dari segi penyalah gunaan alcohol dan dadah dari penceramah jemputan Dr Nicholas Pang Tze Ping, Pakar Psychiatry Hospital UMS.
Menurut Dr Nicholas, dadah dan masalah kesihatan mental saling berkaitan, begitu juga dengan mereka yang ketagihan alkohol.
“Walaupun ada pusat pemulihan seperti Bukit Padang tetapi ia tidak sesuai kerana bagi saya keadaannya seperti dalam penjara, masalah mental boleh disembuhkan dengan rawatan yang betul.
“Masalah kesihatan mental juga mempengaruhi atau mendorong individu untuk pengambilan alkohol dan dadah.
“Oleh itu, penting untuk kita merawat atau praktis cara menjaga kesihatan mental kita yang berpunca daripada stress dan banyak lagi,” katanya.
Faktor dadah dan alkohol boleh menyebabkan seseorang mengalami halusinasi dan delusi selain berkelakuan ganas sehingga bertindak di luar kawalan.
“Kes pukul, mencuri, merogol, kematian, kemalangan dan banyak lagi adalah salah satu kesan kepada pengambil dadah dan alkohol yang berterusan dan tidak terkawal, dan juga kesan daripada masalah kesihatan mental yang serius juga mendorong kepada banyak kematian,” katanya.
Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menyatakan alkohol adalah bahan toksik yang biasanya dikaitkan dengan tujuh jenis kanser termasuk esofagus, hati, kolorektal, dan kanser payudara.
Kenyataan WHO yang diterbitkan dalam “The Lancet Public Health” mengaitkan pengambilan alkohol dengan 740,000 kes kanser baharu setiap tahun di seluruh dunia.
Jannie berkata sedang melihat peningkatan pengambilan alkohol dan dadah di kalangan komuniti kawasannya semakin membimbangkan dan menyebabkan banyak kes termasuk kemurungan, kebimbangan dan bunuh diri.
“Oleh itu, bagi saya penting untuk kita mulakan kesedaran dikalangan komuniti kita dengan melaksanakan banyak program yang bermanfaat untuk mereka. Saya percaya usaha kecil yang berterusan adalah satu permulaan yang baik.
“Penyalahgunaan dadah bukanlah perkara asing di Malaysia. Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan agensi-agensi lain telah banyak berusaha untuk mencegah penyalahgunaan dadah,” katanya.
Jannie juga berkata pelbagai usaha dan aktiviti telah dijalankan secara giat bagi memastikan isu penyalahgunaan alcohol oleh organisasi bukan kerajaan seperti Edulife dan APAM supaya isu tersebut dapat dibendung dalam sesebuah komuniti.
“Selain daripada program kesedaran, saya juga mengharapkan masyarakat lebih peka dengan keadaan sekeliling termasuk ahli keluarga mereka sendiri dan tidak malu mendapatkan rawatan awal untuk penagih dadah.
“Kita perlu peka dengan aktiviti yang dilakukan ahli keluarga atau rakan juga sangat penting bagi mengelakkan kematian disebabkan dadah, alkohol dan juga masalah kesihatan mental.
“Sebuah pusat pemulihan pasti akan memberi harapan dan membantu kesembuhan terutama mereka yang masih dalam peringkat awal,” katanya.