Cuai Terpotong Alat Sulit, Lelaki Dapat Ganti Rugi RM3.1 Juta

Cuai Terpotong Alat Sulit, Lelaki Dapat Ganti Rugi RM3.1 Juta

0
SHARE
Gambar sekadar hiasan...

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki berjaya memperoleh ganti rugi berjumlah RM3.1 Juta selepas kepala zakarnya terpotong ketika berkhatan 12 tahun lalu.

Mahkamah Tinggi membenarkan tuntutan samannya terhadap kerajaan Malaysia dan empat pihak entiti lain.

Hakim Datuk Akhtar Tahir membuat keputusan itu selepas memutuskan bahawa kesemua defendan telah melakukan kecuaian terhadap keadaan yang dialami oleh pemuda yang berusia 22 tahun berkenaan selaku plaintif…

Selain kerajaan, turut dinamakan sebagai defendan dalam kes saman itu ialah pegawai perubatan Hospital Kuala Lipis, Pahang; pengarah hospital itu; doktor pakar dan pengarah Hospital Selayang, Selangor.

Menurut hakim tersebut mahkamah membenarkan ganti rugi khas seperti yang dinyatakan di dalam pliding iaitu RM108,356, ganti rugi am RM2 juta, ganti rugi teruk RM500,000, ganti rugi teladan RM500,000 dan kos RM100,000 dibayar kepada plaintif oleh kesemua defendan, lapor Kosmo!

Dalam prosiding hari ini, hakim Akhtar membuat keputusan itu secara dalam talian menerusi aplikasi Zoom, yang disertai peguam Mohamad Zainuddin Abu Bakar, yang mewakili pemuda berkenaan dan Peguam Persekutuan Saravanan Kuppusamy yang mewakili kesemua defendan.

Seramai tiga saksi plaintif dan lima saksi defendan dipanggil untuk memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula 22 Sept 2020.

Sementara itu Mohamad Zainuddin dan Saravanan ketika dihubungi pemberita mengesahkan keputusan mahkamah tersebut.

Ketika dihubungi, Saravanan berkata pihaknya akan mendapatkan arahan lanjut sama ada akan merayu terhadap keputusan itu.

Terdahulu pada 20 Februari 2019, Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan kelima-lima defendan itu untuk membatalkan saman berkenaan.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan pada 20 Februari 2020 mengarahkan kes saman itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan selepas membenarkan rayuan pemuda itu bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi.

Pada 19 Julai 2018, plaintif memfailkan saman itu menerusinya ibunya selepas mendakwa proses berkhatan yang dilakukan pada 13 Disember 2010,  tidak mengikut prosedur ditetapkan apabila keseluruhan kepala alat sulitnya dipotong menyebabkannya mengalami kecacatan kekal dengan kemaluannya tidak dapat disambung semula.

Akibat daripada kecacatan kekal itu, plaintif berubah sikap menjadi pendiam dan tidak suka berkawan dengan rakan sebaya serta tidak faham langsung dunia seksualiti.