Sabah Catat Lonjakan 25 Peratus Ketibaan Pelancong China Tahun Ini

Sabah Catat Lonjakan 25 Peratus Ketibaan Pelancong China Tahun Ini

0
SHARE

FUZHOU: Sabah terus mencatat momentum positif dalam pasaran China apabila ketibaan pelawat dari negara itu meningkat 25.5 peratus dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, sekali gus mengukuhkan kedudukan China sebagai pasaran sumber antarabangsa terbesar bagi negeri ini.

Berucap pada Sabah B2B Roadshow di Fuzhou hari ini, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, Sabah merekodkan 484,699 ketibaan pelawat dari China antara Januari hingga Julai 2026, meningkat dengan ketara berbanding 386,217 ketibaan dalam tempoh sama pada 2025.

Pertumbuhan kukuh ini mencerminkan permintaan berterusan terhadap Sabah dalam kalangan pelancong China dan menunjukkan betapa pentingnya usaha memperkukuhkan hubungan penerbangan antara Sabah dan China,” katanya.

Bagi terus menyokong peningkatan permintaan itu, Xiamen Airlines akan menyambung semula perkhidmatan penerbangan terus Xiamen–Kota Kinabalu mulai 23 September 2026.

Bersama laluan Fuzhou–Kota Kinabalu yang sedia ada, Sabah kini akan menerima tujuh penerbangan terus seminggu dari wilayah Fujian, iaitu empat penerbangan dari Xiamen dan tiga dari Fuzhou.

“Peningkatan hubungan penerbangan ini akan menjadikan Sabah lebih mudah dikunjungi pelancong dari Fujian dan kawasan sekitarnya, selain membuka lebih banyak peluang kepada industri pelancongan kita,” kata Jafry.

Beliau turut menekankan bahawa Sabah kekal sebagai destinasi yang kaya dengan kepelbagaian dan mampu menarik minat pelancong China bukan sahaja menerusi keindahan pantai serta hutan hujan purbanya, tetapi juga keramahan penduduk dan kekayaan tradisi budaya negeri ini.

Sabah B2B Roadshow itu dianjurkan menerusi kerjasama erat Persatuan Pelancongan Cina Malaysia (MCTA) Cawangan Sabah, Xiamen Airlines dan Lembaga Pelancongan Sabah.

Program berkenaan berjaya menghimpunkan ejen pelancongan utama serta pemain industri dari Xiamen dan Quanzhou bagi meneroka peluang kerjasama baharu.