Masiung Syor Kerajaan Negeri Sumbang RM100 Melalui Dana Subsidi Sebagai Tambahan Inisiatif...

Masiung Syor Kerajaan Negeri Sumbang RM100 Melalui Dana Subsidi Sebagai Tambahan Inisiatif SARA

0
SHARE

KOTA KINABALU: Pengerusi Backbenchers Sabah, Datuk Masiung Banah mencadangkan Kerajaan Negeri agar menyumbang tambahan RM100 melalui dana subsidi sebagai inisiatif baharu bagi memperkukuh bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dari Persekutuan, sekali gus meringankan beban kos sara hidup rakyat.

Beliau berkata, cadangan itu jika dilaksanakan akan menjadikan jumlah bantuan bulanan meningkat kepada RM200 bagi kira-kira 497,815 penerima golongan sasar di Sabah, termasuk B40 dan kumpulan berpendapatan rendah yang terkesan dengan tekanan ekonomi semasa.

“Jika Kerajaan Negeri mempunyai sumber kewangan mencukupi, saya syorkan Kerajaan Negeri menyumbang RM100 melalui dana subsidi, sebagai tambahan kepada inisatif bantuan SARA secara ‘one off’ dan menjadikan jumlah RM200 sebulan kepada 497,815 penerima golongan sasar di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan isu kos sara hidup pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Sabah ke-17, di sini, hari ini.

Menurutnya, konflik geopolitik di Asia Barat ketika ini telah memberi kesan langsung kepada kenaikan harga minyak global, sekali gus mendorong peningkatan kos logistik pengangkutan laut dan udara.

Katanya, keadaan itu turut menyebabkan harga barangan runcit, khususnya barangan import, meningkat dan sukar dielakkan, terutama sekiranya berlaku gangguan rantaian bekalan akibat krisis global.

Selain itu, Masiung turut mencadangkan agar Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan pelaksanaan moratorium bersasar sekiranya krisis ekonomi global berpanjangan.

“Langkah ini penting bagi membantu peminjam individu dalam kategori B40, M40 serta usahawan kecil dan sederhana (PKS) yang terkesan dengan tekanan ekonomi domestik,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau menekankan keperluan memperkukuh penguatkuasaan kawalan harga dengan menambah bilangan operasi di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 serta Akta Kawalan Bekalan 1991.

Katanya, tindakan tegas perlu diambil bagi mengekang kenaikan harga yang tidak munasabah serta mengelakkan manipulasi peniaga, khususnya melibatkan barangan bersubsidi.