KUALA LUMPUR: Peminat muzik serumpun bakal disajikan dengan himpunan 19 artis Malaysia dan Indonesia apabila Ultra Kalcer Malaysia 2026 mengambil alih pentas KL Festival Park selama dua hari pada 7 dan 8 November depan.
Festival anjuran Neptunes Presents itu menghimpunkan nama-nama popular dari kedua-dua negara, termasuk diva Indonesia, Kris Dayanti selain Hindia, Pamungkas dan Sal Priadi.
Barisan artis Indonesia lain yang bakal membuat persembahan ialah Naykilla, Barasuara, Biru Baru, Danilla, Good Morning Everyone, Lomba Sihir, Rumah Sakit serta Romantic Echoes & The Moonlight Knights.
Malaysia pula diwakili Okirama, Dukes, The Alif, Belia Benci Club, Citykops dan Rangkaian Fugo.
Jurucakap Neptunes Presents, Nabila Huda Suhaimi berkata, pihaknya berbangga dapat menghimpunkan barisan penyanyi dari Malaysia dan Indonesia dalam sebuah festival yang meraikan muzik serumpun.
“Pasukan kreatif produksi juga bertungkus-lumus mendapatkan barisan penyanyi yang terdiri daripada nama hebat dalam industri muzik Indonesia dan Malaysia untuk menjayakan festival ini.
“Selain itu, lagu nyanyian artis ini juga menduduki carta muzik teratas dan mendapat tempat di hati peminat kedua-dua negara.
“Setiap penyanyi juga sedang giat membuat persiapan untuk memastikan persembahan paling hebat untuk menghiburkan pengunjung pada festival nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Ultra Kalcer Malaysia 2026 di The Volume, Kuala Lumpur, hari ini.
Menurut Nabila, senarai lagu yang bakal dipersembahkan setiap artis masih dirahsiakan sehingga hari festival.
Mengulas pemilihan lokasi, Nabila berkata, KL Festival Park dipilih selepas mengambil kira kedudukannya yang strategik serta kemampuan menampung lebih 20,000 pengunjung pada satu-satu masa.
“Hasil perbincangan, pihak kami memilih KL Festival Park kerana ia lokasi yang strategik untuk penganjuran festival besar ini.
“Pada masa sama, lokasi ini juga dapat memberikan keselesaan kepada pengunjung kerana mampu memuatkan kapasiti lebih 20,000 penonton dalam satu masa,” katanya.
Menurutnya, jualan tiket Ultra Kalcer Malaysia 2026 sudah dibuka sejak 4 September lalu.
Turut hadir pada sidang media berkenaan ialah Ketua Pegawai Eksekutif Neptunes Presents, Mohd Izwan Johar; Ketua Pegawai Operasi Neptunes, Fizzany Adnan dan Pengarah Projek, Shamil Yusof.
Sebelum ini, Neptunes Presents pernah bekerjasama dengan rakan kongsi lain menganjurkan Festival Muzik Nyalafest di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada 30 November 2024.
Festival berkenaan menampilkan lapan artis Malaysia dan Indonesia termasuk Feby Putri, Pamungkas, Bernadya, Diskoria, Romantic Echoes, Bilal Indrajaya, Noh Salleh X Restoe Iboe dan Fugo.






