Paderi Katolik dan Biarawati Tidak Patut Dijadikan Bahan Jenaka Perwakilan UMNO –...

Paderi Katolik dan Biarawati Tidak Patut Dijadikan Bahan Jenaka Perwakilan UMNO – Madius

0
SHARE

KOTA KINABALU: Paderi Katolik dan biarawati tidak seharusnya dijadikan bahan jenaka seksual atau dipersendakan dari pentas perhimpunan politik utama negara, kata Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Beliau berkata demikian susulan ucapan seorang perwakilan UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 yang menggunakan kisah membabitkan paderi dan biarawati, termasuk rujukan kepada Mazmur 129, sebagai sebahagian daripada ucapannya.

Laporan mengenai ucapan itu mengesahkan kisah tersebut digunakan untuk menggambarkan kepentingan kekal fokus dan mengetahui matlamat yang ingin dicapai.

Madius berkata, sama ada ia dimaksudkan sebagai jenaka atau sindiran, perkara itu tetap tidak wajar kerana ia menyinggung perasaan Masyarakat beragama Kristian di seluruh negara.

Kitab Suci, paderi Katolik dan biarawati tidak sepatutnya dijadikan bahan jenaka seksual atau dipersendakan dari pentas perhimpunan sebuah parti politik utama negara,” tegas Madius.

Beliau berkata, penceramah berkenaan perlu mengakui kesilapan dan menarik balik rujukan palsu terhadap Mazmur 129 serta memohon maaf secara terbuka kepada umat Katolik dan seluruh masyarakat Kristian.

“Penceramah berkenaan sewajarnya mengakui kesilapan pertimbangannya,menarik balik rujukan palsu terhadap Mazmur 129 dan memohon maaf secara terbuka tanpa sebarang syarat kepada umat Katolik serta seluruh masyarakat Kristian,” jelas beliau.

Terdahulu Bendahari Umno Selangor, Datuk Noorazli Said menggunakan jenaka daripada ajaran Kristian Katolik untuk memahamkan perwakilan serta penyokong parti tersebut yang kini bertumpu di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Berucap di hadapan ribuan hadirin pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2026, Noorazli menceritakan kisah seorang paderi yang memandu kereta Proton Saga bertransmisi manual ketika ternampak seorang biarawati menunggu di perhentian bas.

Paderi itu kemudian menawarkan diri untuk menghantar biarawati tersebut pulang.

Namun, setiap kali paderi terbabit menukar gear, tangannya akan tersentuh paha biarawati tersebut dan dia membiarkan tangannya berada di situ.

Namun setiap kali perkara itu berlaku, biarawati berkenaan mengingatkan paderi tersebut supaya merujuk kepada ayat Mazmur ke-129 yang menyebabkan paderi terbabit menarik semula tangannya.

Sebaik tiba di rumah, kata Noorazli, paderi itu menyemak Bible untuk melihat apa sebenarnya yang terkandung dalam ayat tang dipetik oleh biarawati berkenaan, dan dia terkejut.

“Tuan-tuan nak tahu apa Surah Mazmur ayat ke-129 ni cakap?” katanya bersahaja, “surah Mazmur ayat 129 ni dalam bahasa Inggeris dia cakap – dengan izin – go forth and seek further up and you will find glory.

“Faham ke tak faham ni? Kalau tak faham saya terjemah ke bahasa Melayu. Maksudnya: dia kata, ‘teruskan usahamu kerana semakin ke atas semakin dekatlah kamu dengan kejayaan.’

“Justeru apa yang saya nak bagitahu dari cerita ini ialahlah, we must focus (kita mesti fokus) dan kita kena tahu apa yang kita nak buat,” katanya disambut dengan ketawa orang ramai.