KOTA BHARU – Berang kerana diarahkan menjalani ujian air kencing, seorang wanita memaki anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Memetik kenyataan akhbar Berita Harian, wanita berusia 31 tahun itu ditahan dalam sekatan jalan raya Operasi Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), dengan kerjasama AADK serta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK), yang diadakan di hadapan Kompleks JPJ Panji, malam tadi.
Dia ditahan atas kesalahan lesen memandu dan cukai jalan kenderaan tamat tempoh sejak tahun lalu.
Sebaik diarahkan membuat ujian saringan, wanita yang sedang hamil empat bulan itu bertindak biadap dan mengeluarkan perkataan kesat terhadap anggota AADK, namun selepas dipujuk wanita yang bersama suaminya, warga Bangladesh akhirnya akur.
Keputusannya ujian pasangan suami isteri itu negatif dadah, namun kenderaan jenis Kia Spectra mereka terpaksa disita.
Pengarah JPJ Kelantan, Mahasan Mustapa, berkata dalam 45 anggota mewakili tiga agensi terbabit dalam operasi itu, yang bermula jam 9 malam semalam sehingga awal pagi tadi.
“Sebanyak 80 saman dikeluarkan dan 15 notis arah periksa kesalahan teknikal, manakala dua penunggang motosikal didapati positif dadah.
“Terdapat empat kesalahan lesen kenderaan motor (LKM), membabitkan masing-masing dua kereta dan motosikal yang tamat tempoh melebihi tiga tahun.
“Bagaimanapun, kesalahan membabitkan lesen memandu masih lagi mencatatkan bilangan paling tinggi,” katanya kepada pemberita, di sini.

Selain itu, katanya, terdapat juga kesalahan penggunaan nombor pendaftaran yang bersaiz kecil dan dalam operasi terbabit, kenderaan mewah antara yang ditahan atas kesalahan itu.