KOTA KINABALU, SABAH – Seorang kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) mencetus kluster jenis komuniti, ‘Kluster Kampung Karanaan’ yang dikesan di Ranau kelmarin (7 Nov).
Setakat ini, 52 orang penduduk kampung yang menghadiri upacara majlis perkahwinan dan cukur jambul telah dijangikitti virus COVID-19.
Jurucakap Perkembangan Harian COVID-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, upacara tersebut turut dihadiri saudara-mara kes indeks dari luar daerah.
“Kluster tersebut adalah satu peringatan betapa perlunya semua kita mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang masa…
“Lebih-lebih lagi apabila Sabah beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara mulai hari ini (Isnin) di mana pelbagai sekatan keatas majlis sosial dan aktiviti ekonomi dilonggarkan,” kata beliau.
Katanya kesan kelonggaran yang diberikan ini adalah risiko jangkitan virus di tempat awam dan acara sosial akan semakin tinggi.
“Rakyat diseru agar tidak lalai mematuhi semua SOP yang berkuatkuasa. Kelonggaran ini meletakkan tanggungjawab frontliners (petugas barisan hadapan) keatas bahu rakyat sendiri untuk mengekang penulan virus COVID-19,” tegasnya.
Dengan 405 kes baharu kelmarin, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mencatat dua (2) kematian masing-masing satu (1) kes di Beaufort dan Kota Marudu.

Masidi berkata jumlah kelmarin 164 kes lebih rendah daripada hari sebelumnya dan “adalah antara yang terendah sejak beberapa bulan lalu”.
“Kecuali daerah Kota Kinabalu yang mendaftar 52 kes baharu, jumlah kes harian disemua daerah di Sabah adalah di bawah paras angka 50…
“Sebanyak 11 daerah mencatat kes baharu kurang daripada 10 kes termasuk tiga (3) daerah iaitu Kunak, Tongod dan Kalabakan tanpa kes jangkitan baharu,” katanya.
Dalam pada itu katanya 96 peratus (96%) pesakit baharu berada dalam Kategori 1 dan 2 yang hanya bergejala ringan ataupun langsung tanpa gejala.