Lelaki Mabuk Punca Kemalangan Tujuh Kenderaan di Tawau

Lelaki Mabuk Punca Kemalangan Tujuh Kenderaan di Tawau

0
SHARE

TAWAU: Seorang pemandu yang disyaki di bawah pengaruh alkohol dipercayai menjadi punca kemalangan membabitkan tujuh kenderaan di Batu 3, Jalan Apas, dekat sini, semalam.

Memetika laporan Harian Metro, dalam kejadian 5.15 petang itu, lelaki berumur 32 tahun terbabit ditahan polis selepas Perodua Kenari dipandunya merempuh tiga kenderaan lain yang diparkir di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, siasatan awal mendapati kejadian ketika suspek dari arah Jalan Apas menuju ke pusat bandar.

Menurutnya, apabila menghampiri Mini Market 99 di Batu 3, Jalan Apas, suspek dilihat memandu kenderaan itu secara melulu sebelum merempuh tiga kenderaan yang diparkir dan tiga lagi kenderaan lain yang sedang bergerak termasuk sebuah motosikal.

“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal berumur 26 tahun mengalami kecederaan di kedua belah tangan dan bahagian lutut.

“Hasil siasatan lanjut mendapati pemandu terbabit dipercayai di bawah pengaruh alkohol,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Jasmin berkata, siasatan lanjut masih meneruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 44 (1) (a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksye 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.