10 Motosikal, Satu Kereta Disita Dalam Operasi Bersepadu di Jalan Apas

10 Motosikal, Satu Kereta Disita Dalam Operasi Bersepadu di Jalan Apas

0
SHARE

TAWAU: Sebanyak 10 buah motosikal dan sebuah kenderaan disita dalam Operasi Bersepadu Ops Samseng Jalanan di Batu 2, Jalan Apas, Tawau, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, operasi yang bermula pada jam 11.00 malam dan berakhir pada jam 12.30 tengah malam itu dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) dengan kerjasama Bahagian Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) dan Balai Polis Tawau yang diketuai oleh ASP Joen Lee telah mengeluarkan sebanyak 26 keping notis saman atas pelbagai kesalahan.

Katanya, dalam operasi itu, sebanyak 73 buah kenderaan pelbagai jenis dan 30 buah motosikal melibatkan 127 orang awam telah diperiksa dalam operasi berkenaan.

“Dalam pemeriksaan tersebut, sebanyak 10 buah motosikal dan sebuah kereta turut disita atas pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu, lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh dan pengubahsuaian melampau.

Tambahnya, dalam operasi tersebut Polis turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun kerana menunggang motosikal di bawah pengaruh alkohol.

“Penunggang motosikal tersebut di dapati dalam keadaan mencurigakan dan ujian pernafasan mendapati beliau menungang motosikal dalam keadaan dipengaruhi alkohol.

“Lelaki tersebut di bawa ke Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik, IPD Tawau untuk pemeriksaan lanjut dan hasil ujian mendapati bacaan alkohol mencatatkan 117mg dan 72mg/100ml iaitu melebihi daripada paras yang ditetapkan,” katanya hari ini.

Menurutnya, lelaki tersebut ditahan mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk tindakan lanjut.

Tegas beliau, orang ramai terutama ibu bapa diingatkan untuk memantau tingkah laku anak-anak agar tidak terpengaruh dengan gejala yang tidak sihat.

Ujarnya, pengguna jalan raya diminta mematuhi undang-undang lalu lintas dan tidak terlibat dalam sebarang aktiviti lumba haram atau menjadi samseng jalanan.