Ewon Ketuai Agensi KUSKOP Adakan Kunjungan Hormat Kepada TYT Sabah

Ewon Ketuai Agensi KUSKOP Adakan Kunjungan Hormat Kepada TYT Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU : Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick mengetuai agensi kementeriannya mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri, di sini, kelmarin.

Bersama-sama dengan Ewon ialah Pengerusi Bank Rakyat Dato Mohd Irwan Mohd Mubarak, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat Dato Dr Mohammad Hanis Osman dan Pengarah Wilayah Bank Rakyat Sabah dan Sarawak, Saini Hammade serta Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Rusli Jaafar dan Pengarah SKM Sabah, Efendee O.P Andu.

Dalam kunjungan hormat ini, Tun Juhar telah dimaklumkan mengenai pelbagai inisiatif yang telah, sedang dan akan dilaksanakan oleh Bank Rakyat dan SKM di Sabah iaitu agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

Ewon berterima kasih di atas kesudian Tun menerima kunjungan ini dan mengalu-alukan pandangan yang telah diberikan.

Beliau berharap usaha berterusan untuk pembangunan keusahawanan dan koperasi di Sabah terus dirancakkan melalui peranan pelbagai agensi kerajaan di negeri ini.

“Selain membentangkan beberapa program di bawah Bank Rakyat dan SKM, Bank Rakyat turut memaklumkan Tun Juhar mengenai sumbangan zakat di bawah Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), prestasi serta perancangan Bank Rakyat di Sabah.

“Manakala SKM telah memaklumkan Yang di-Pertua Negeri Sabah mengenai prestasi gerakan koperasi di Sabah termasuk rancangan pembangunan, bantuan-bantuan serta pelbagai inisiatif yang telah dilaksanakan di Sabah ketika ini dan perancangan pada masa hadapan.

“Dalam kunjungan hormat ini, kami memaklumkan kepada Tun Juhar m bahawa KUSKOP dan agensi-agensi sedang melaksanakan perkhidmatan yang terbaik untuk Sabah sepertimana tanggungjawab yang dilaksanakan KUSKOP di seluruh negara,” katanya.

Ketika ditemui media selepas kunjungan hormat itu, Ewon berkata semua perancangan program yang dilaksanakan KUSKOP di Sabah berjalan lancar.

Katanya, usahawan dan koperasi di Sabah adalah antara yang paling banyak mendapat bantuan daripada SKM dan antara negeri yang tertinggi dari segi pemilikan aset di kalangan pelanggan Bank Rakyat di negeri ini.

Menurut Ewon, Tun Juhar juga menyatakan pandangan dan cadangan beliau yang boleh diambil tindakan susulan oleh kementerian dan agensi-agensi di bawah KUSKOP.

“Bank Rakyat sedang mempertimbangkan untuk memperluaskan cawangan-cawangan Bank Rakyat di pekan-pekan atau bandar-bandar baharu di Sabah.

“Manakala SKM akan terus membangunkan gerakan koperasi dengan menyediakan geran-geran pembangunan tabung modal pusingan kepada koperasi- koperasi di Sabah,” katanya.

Pada masa Tun Juhar turut dimaklumkan bahawa Bank Rakyat, SKM dan agensi-agensi KUSKOP telah membantu mangsa-mangsa banjir di Sabah melalui program CSR masing-masing.