
KOTA KINABALU, SABAH – Tahun lalu “mengejut” jadi tahun ini “lewat sehari” pendapat beberapa netizen selepas pengumuman pengisytiharan Hari Raya Aidilfitri bagi umat Islam di seluruh Malaysia akan disambut pada Sabtu.
Pengumuman itu dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad yang memakai baju melayu berwarna perang di saluran televisyen tempatan sebentar tadi.
“Bagi menyempurnakan titah perintah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, maka adalah dengan ini saya mengisytiharkan bahawa tarikh hari raya puasa bagi negeri-negeri seluruh Malaysia ditetapkan pada hari Sabtu, 22 April 2023,” katanya.
Walau bagaimanapun, memetik sumber Sinar Harian yang melaporkan Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir sebagai berkata tiada raya mengejut dalam Islam kerana adanya ilmu falak.
“Sebenarnya tiada isu raya mengejut dalam Islam kerana kita ada prinsip dan kaedah untuk menentukan hilal.
“Dalam Islam kita disuruh melihat hilal untuk menentukan bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri sepertimana yang diperintahkan oleh ALLAH S.W.T namun jika ia tidak memenuhi syarat, maka bulan itu menjadi 30 hari,” katanya.
Beliau berkata peristiwa berlaku tahun lepas iaitu apabila Syawal jatuh pada 2 Mei 2022, hitungan dan imkanur rukyah tidak cukup syarat.
“Tetapi tiba-tiba ada satu lokasi yang kelihatan hilal maka yang terpakai adalah di kawasan tersebut.
“Melihat anak bulan itu perlu dikekalkan kerana ikut data kita bangunkan di kalendar tidak kelihatan tetapi dengan dengan kuasa ALLAH S.W.T kelihatan anak bulan,” katanya sambil menambah kaedah itu lebih tepat.