Karnival Usahawan Dan Koperasi Madani KUSKOP Sempena Kaamatan, 6 Hingga 7 Mei...

Karnival Usahawan Dan Koperasi Madani KUSKOP Sempena Kaamatan, 6 Hingga 7 Mei Di Tamparuli

0
SHARE
Carl
Pengerusi Penganjur Carl Moosom ( Sumber Foto: Gambar Google )

KOTA KINABALU: Karnival Usahawan dan Koperasi Madani sempena Pesta Kaamatan anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan diadakan selama dua hari bermula 6 Mei ini di Dewan Tun Hamdan, Tamparuli.

Pengerusi Penganjur Carl Moosom berkata, karnival yang julung kalinya diadakan di daerah itu dijangka disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor pada jam 11.00 pagi, 6 Mei.

Manakala perasmian penutupan Karnival dan Pesta Kaamatan akan disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick, pada 7 Mei (Ahad).

Beliau berkata, selain taklimat mengenai keusahawanan dan koperasi yang akan disampaikan oleh 10 agensi di bawah kementerian, pameran dan Jualan Madani turut diadakan sepanjang karnival itu.

“Taklimat akan disampaikan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Tekun Nasional, SME Corp Malaysia, Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Bank Rakyat, SME Bank, Institut Koperasi Malaysia (IKMa), UDA Holdings Berhad, SME Corp Malaysia dan Pernas.

“Program Tunas Usahawan Bumiputera (TUBE) khusus untuk Sabah dan Sarawak juga akan dilancarkan pada majlis perasmian karnival itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Carl berkata, seramai 60 usahawan dan koperasi akan menyertai pameran dan jualan Madani.

Beliau berkata, program itu juga dilaksanakan sejajar konsep Madani “nilai daya cipta Madani” melalui penyertaan usahawan-usahawan dan koperasi dalam pameran dan jualan Madani.

Sehubungan itu beliau menjemput orang ramai hadir beramai-ramai untuk memeriahkan seterusnya mendapatkan maklumat lanjut mengenai skim-skim pinjaman dan pembiayaan serta program-program latihan berkaitan keusahawanan dan koperasi yang dilaksanakan pelbagai agensi di bawah Kuskop.

Pada sebelah malam pula, acara sambutan Kaamatan akan diadakan di tempat yang sama bermula jam 6.00 petang yang dijangka akan disempurnakan oleh Timbalan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Donald P Mojuntin.

Pelbagai acara menarik telah disusun sempena majlis itu antaranya persembahan nyanyian artis terkenal Rosario Bianis, tarian kebudayaan, Pertandingan Sodop Rombituon (Nyanyian) dan Sodop Pintutunan Unduk Ngadau UPKO 2023.