Pelabur Asing Kekal Yakin Melabur Dalam Sabah – Phoong

Pelabur Asing Kekal Yakin Melabur Dalam Sabah – Phoong

0
SHARE
Phoong
Menteri Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe

KOTA KINABALU, SABAH – Pelabur asing masih dan kekal yakin untuk datang dan membuat pelaburan di Sabah.

Menteri Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe berkata, dari sudut kedatangan pelabur, tidak ada masalah kerana pelabur masih yakin dengan keperluan yang Sabah janji boleh bekalkan kepada mereka.

Pada masa sama juga, Phoong turut berharap agar pegawai-pegawai kerajaan khususnya dalam Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) untuk menguruskan segala sistem penting dengan baik.

“Saya turut menyeru dan amat berharap kepada rakan-rakan dalam kerajaan khususnya JANS supaya boleh urus dengan baik sistem mereka supaya dapat, bukan sahaja membekalkan kepada pelabur tetapi juga kepada rakyat.

“Kerana saya juga seorang wakil rakyat jadi saya faham rintihan dan juga masalah yang dihadapi oleh rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Heads of Agreement di antara Sabah Energy Corporation Sdn Bhd dan ESTEEL Enterprise Sabah Sdn Bhd di Menara Kinabalu, Selasa lepas.

Pada masa sama Phoong berkata, sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam pelaburan dan perindustrian, beliau perlu memastikan apa yang dijanjikan oleh kerajaan negeri kepada pelabur tertunai.

“Kalau tidak, nanti imej kita yang rosak. Jadi perkara-perkara asas seperti air mesti kita selesaikan.

“Sekali lagi saya rayu agar rakan-rakan dalam sistem kerajaan negeri dapat mempertingkatkan usaha untuk membekalkan air bukan sahaja kepada pelabur tapi juga rakyat,” tegasnya.