KOTA KINABALU, SABAH – Parti Warisan (WARISAN) bakal menyokong pembentukan kerajaan Persekutuan yang dilihat mampu memberi kestabilan kepada negara serta menjaga kepentingan rakyat Sabah dan Sarawak.
Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata pihaknya telah dihubungi beberapa pemimpin politik yang menyampaikan hasrat untuk menjalin kerjasama.
Walau bagaimanapun, beliau memaklumkan pihaknya sedang memperhalusi dan mempertimbangkan berhubung.perkara terbabit.
“Apa yang penting kepada kita kestabilan negara, kepentingan (negeri-negeri) Borneo untuk rakyat, walaupun jumlah (kerusi Parlimen yang dimenangi) kecil, namun ia mampu menambah kestabilan kepada politik di negara ini dan sesiapa yang mahu bentuk kerajaan Persekutuan perlukan sokongan ini…
“Sesiapa sahaja yang mahukan kerjasama kita, perlu menimbang apa yang menjadi ‘fundamental’ kepada perjuangan kita (termasuk) kepentingan rakyat, Borneo (Sabah dan Sarawak) dan juga kelangsungan (survival) WARISAN,” katanya dalam satu sidang media, hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Shafie turut berkata pihaknya menghormati keputusan rakyat Malaysia yang telah melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi meskipun WARISAN hanya memenangi tiga kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), semalam.
“Kita tidak boleh menidakkan keputusan ini, kerana rakyat menjalankan tanggungjawab mereka memilih siapa mereka kehendaki, ada tsunami pengundian berlaku sehingga WARISAN hilang kerusi di kawasan tertentu yang boleh dipertahankan…