‘Berundurlah Wahai Ahmad Zahid Dengan Bermaruah’, Kata EXCO Pemuda UMNO

‘Berundurlah Wahai Ahmad Zahid Dengan Bermaruah’, Kata EXCO Pemuda UMNO

0
SHARE
Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi...

KUALA TERENGGANU – Hangat ketika ini gesaan terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk berundur secara bermaruah akibat kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), semalam.

Kekalahan BN kali ini merupakan yang lebih teruk berbanding PRU14, kata EXCO Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris.

Justeru, beliau menyatakan bahawa Ahmad Zahid perlu bertanggungjawab atas kekalahan teruk BN ini walaupun Zahid mengekalkan kemenangan di Parlimen Bagan Datuk.

“Baik-baik jadi kerajaan, dia (Ahmad Zahid) sibuk desak agar PRU15 diadakan segera dan ditambah dengan strategi yang menjahanamkan kawasan putih BN…

“Pengerusi BN itu perlu terima hakikat bahawa kekalahan teruk dialami parti membuktikan bahawa rakyat tidak suka kepada Ahmad Zahid, tetapi pentaksub kepada bekas Timbalan Perdana Menteri itu masih tidak mahu menerima kenyataan,” katanya melalui kenyataan dimuatnaik di Facebook hari ini.

Pada PRU15, BN hanya memenangi 30 daripada 178 kerusi Parlimen, manakala PN menerusi tiket PAS menyapu bersih kerusi Parlimen di Terengganu dan Kelantan.

Najmil Faiz berkata, kekalahan teruk BN itu membuktikan UMNO menjadi korban disebabkan tindakan pemimpin yang menjadikan parti sebagai tebusan.

Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris…

“Kita kecewa dan sedih kerana segala kebaikan dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob seolah tidak bermakna di mata rakyat…

“Kekalahan teruk itu membuktikan rakyat tidak bersetuju dengan tindakan sesetengah pemimpin yang rakus dan ego,” katanya.

Najmil Faiz berkata, pemimpin parti yang mengeluarkan kenyataan untuk memberi pandangan dituduh sebagai pengkhianat.

“Ke manakah hala tuju BN selepas ini dan adakah akan menyertai Jajaran Baharu bersama PN dan PH…?

“Berundurlah wahai Ahmad Zahid dengan bermaruah supaya tiada ruang untuk kerjasama UMNO dan PH,” katanya.