Tular Video Kereta Seret Kabel, Polis Buru Suspek di Papar

Tular Video Kereta Seret Kabel, Polis Buru Suspek di Papar

0
SHARE

PAPAR: Polis sedang mengesan seorang lelaki dipercayai terlibat dalam kes kecurian kabel berhampiran Jalan Takis Hospital awal pagi Sabtu.

Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Heryan Mohd Tahir berkata, pihaknya menerima maklumat awam mengenai kejadian itu kira-kira jam 2.27 pagi.

Menurutnya, orang awam melihat sebuah kereta sedan putih dalam keadaan mencurigakan sedang menarik kabel sepanjang kira-kira enam meter.

“Dua individu cuba menahan kenderaan itu, namun suspek memecut melarikan diri melalui beberapa jalan utama sebelum menuju ke kawasan Benoni.

“Kejadian tidak melibatkan kemalangan, kecederaan atau kerosakan harta awam,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat diberikan, polis berjaya mengesan kenderaan suspek yang kemudian ditemui ditinggalkan di Jalan Kampung Buang Sayang.

Siasatan awal mendapati kabel yang dicuri dipercayai milik syarikat utiliti atau telekomunikasi, namun lokasi sebenar kecurian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 431A Kanun Keseksaan dan Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar atau balai polis berhampiran.