PUTATAN, SABAH – Orang ramai digesa untuk mengambil dos penggalak bagi melindungi diri daripada varian COVID-19 yang sentiasa bermutasi.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejateraan Rakyat Sabah selaku EXCO Kesihatan, Datuk Shahelmey Yahya berkata, dengan pengambilan dos penggalak, sistem imunisasi badan akan terus meningkat.
“Saya faham pengambilan dos penggalak di kalangan penerima layak di Sabah ini agak perlahan disebabkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kerajaan hanya memerlukan pelengkapan dua dos…
“Kita minta Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) untuk turut menguar-uarkan perkara ini kepada rakyat supaya lebih ramai tampil kehadapan untuk mendapatkannya (dos penggalak) apabila diberikan temu janji,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penutupan Siri Jelajah Taklimat UPPM Sabah 2021 yang melibatkan lima (5) kawasan dalam daerah Penampang dan Putatan termasuk Tanjung Aru, Petagas, Tanjung Keramat, Moyog dan Kepayan.
Dalam pada itu, beliau memesan tiga (3) perkara kepada UPPM bagi mengoptimakan sistem penyampaian daripada Kerajaan kepada rakyat demi kemakmuran bersama.
“Sentiasa mengemas kini data masyarakat dan prasarana setempat. Ini akan memudahkan penunaian tanggungjawab dan pelaksanaan apa juga program dan bantuan disalurkan Kerajaan Sabah…
“Sentiasa mengamalkan budaya bekerja yang berintegriti dan berkuatliti. Kita perlu bekerja secara adil, telus dan inklusif terhadap masyarakat kerana kita adalah wakil kerajaan untuk berhubung dengan rakyat,” katanya.
Dan yang ketiga, beliau menyeru ahli UPPM untuk berkomunikasi dengan jelas dalam era cabaran teknologi maklumat yang pantas.
“Ini penting bagi supaya rakyat dapat memahami sepenuhnya informasi daripada Kerajaan Sabah,” ujarnya.





