KUALA LUMPUR: Selepas penantian lapan bulan, kumpulan wanita popular DOLLA kembali dengan single terbaharu berjudul “G.O.A.T”, hasil kolaborasi bersama ikon rap Thailand, F.Hero, sekali gus menandakan permulaan era baharu mereka yang lebih berani.
Lagu terbitan penerbit Norway, Audun Agnar Guldbrandsen itu menggabungkan elemen pop dan rap, dengan mesej keyakinan diri serta keberanian menjadi diri sendiri.
Kolaborasi bersama F.Hero turut dilihat sebagai langkah strategik untuk menembusi pasaran Thailand dan memperluaskan pengaruh DOLLA di rantau Asia Tenggara.
Menurut DOLLA, gabungan vokal feminin mereka dengan gaya rap bertenaga F.Hero menjadikan lagu tersebut lebih dinamik dan memberi dimensi baharu kepada muzik mereka.
Dari segi visual, “G.O.A.T” menampilkan imej DOLLA yang lebih edgy dan matang, meninggalkan konsep glamor sebelum ini.
Mereka menyifatkan karya tersebut sebagai refleksi perjalanan, cabaran dan perkembangan identiti kumpulan itu.
“G.O.A.T” kini boleh distrim di semua platform digital utama, dan menjadi pembuka kepada lebih banyak projek serta persembahan termasuk penampilan mereka di Paris pada Oktober ini.






