KULIM: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempertingkat kesiapsiagaan bagi menghadapi kemungkinan ancaman keselamatan siber susulan konflik antarabangsa, khususnya membabitkan Iran dan Amerika Syarikat.
Memetik laporan TVS, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, perkembangan konflik berkenaan memerlukan perhatian serius kerana berpotensi mencetuskan ancaman siber yang boleh menjejaskan keselamatan negara.
Menurutnya, PDRM telah menerima maklumat mengenai ancaman siber dari luar negara dan mengambil langkah persediaan sewajarnya bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
“Memang kita dapat maklumat-maklumat dari luar negara yang menyatakan ancaman siber ini berlaku dengan keadaan sekarang yang begitu tidak teratur akibat peperangan.
“Di negara kita, persiapan dilakukan malah arahan juga diberikan untuk memastikan segala perkara berkaitan dengan isu ancaman siber ini diberi perhatian,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Peluncuran Program Semarak Kebudayaan PDRM Kedah di Kompleks Sukan Kulim Hi-Tech Park, pada Khamis.
Sementara itu, Mohd Khalid berkata, program berkenaan turut menjadi platform mengeratkan hubungan antara PDRM dan masyarakat setempat.
Katanya, hampir 10,000 pengunjung dijangka menghadiri program yang berlangsung selama empat hari bermula Rabu.






