Pelakon Popular China Cheng Lei Bakal Tampil di Acara iQIYI STARSHIP 2026...

Pelakon Popular China Cheng Lei Bakal Tampil di Acara iQIYI STARSHIP 2026 September Ini

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Peminat drama Cina di Malaysia bakal berpeluang bertemu secara langsung dengan pelakon popular China, Cheng Lei, apabila beliau membuat penampilan sulung di negara ini menerusi acara iQIYI STARSHIP 2026 pada 13 September depan di Sunway Velocity Mall.

Platform penstriman terkemuka Asia, iQIYI International, mengumumkan persinggahan kedua jelajah iQIYI STARSHIP di Malaysia yang menampilkan Cheng Lei, selaku Duta Global iQIYI, sekali gus memberi peluang kepada peminat tempatan berinteraksi secara dekat dengan bintang yang terkenal menerusi beberapa drama Cina popular.

Cheng Lei dikenali menerusi lakonannya dalam drama How Dare You!?, Legend of the Female General dan My Journey to You, yang berjaya melonjakkan namanya sebagai antara pelakon paling mendapat perhatian dalam industri drama Cina.

Terbaharu, drama How Dare You!? muncul antara siri berbahasa Cina paling popular di peringkat global pada suku pertama 2026 selepas menduduki carta teratas drama Cina iQIYI sejurus ditayangkan.

Siri yang menggabungkan elemen pengembaraan masa, percaturan politik dan percintaan itu turut mendapat sambutan hangat hasil lakonan Cheng Lei sebagai watak Xiahou Dan (Zhang San) yang disifatkan memiliki karakter kompleks dan berlapis.

Sebelum itu, Cheng Lei turut menerima pujian menerusi drama Shadow Love, apabila berjaya membawakan tiga watak berbeza dalam satu produksi, sekali gus memperkukuhkan reputasinya sebagai antara pelakon muda paling berbakat dari China.

Pengarah Kanan iQIYI Asia Tenggara, Dinesh Ratnam, berkata kejayaan penganjuran iQIYI STARSHIP sebelum ini membuktikan sambutan luar biasa peminat Malaysia terhadap drama Cina dan para pelakonnya.

“Kami teruja membawa kembali iQIYI STARSHIP ke Kuala Lumpur. Penonton Malaysia sentiasa menunjukkan minat yang mendalam terhadap drama Cina dan bintang yang menghidupkan karya-karya tersebut.

“Membawa Cheng Lei bertemu peminat adalah usaha kami untuk mendekatkan penonton dengan artis kegemaran mereka serta meraikan drama yang mereka cintai dalam suasana yang lebih istimewa,” katanya.

Menurut iQIYI, STARSHIP merupakan antara inisiatif utama syarikat itu dalam memperluaskan pengaruh kandungan drama Cina ke peringkat antarabangsa dengan membawa artis popular bertemu peminat menerusi pengalaman interaktif di pelbagai negara.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut serta perkembangan terkini mengenai acara itu menerusi platform media sosial rasmi iQIYI Malaysia.