KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mahu perkembangan positif di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone) disampaikan dengan lebih berkesan kepada perwakilan asing, termasuk kedutaan dan suruhanjaya tinggi di negara ini.
Beliau berkata, langkah itu penting supaya mereka dapat menilai semula dan seterusnya mempertimbangkan penurunan tahap nasihat perjalanan ke Sabah Timur berdasarkan perkembangan positif, termasuk tiada kes penculikan untuk wang tebusan dilaporkan di kawasan terbabit sejak Januari 2020.
“Ini penting supaya mereka dapat menilai semula dan seterusnya mempertimbangkan penurunan tahap nasihat perjalanan ke Sabah Timur berdasarkan perkembangan positif di mana tiada kes penculikan untuk wang tebusan dilaporkan di kawasan terbabit sejak Januari 2020.
“Ini akan meningkatkan keyakinan pelancong antarabangsa dan menggalakkan lebih ramai pengunjung datang ke Sabah, khususnya untuk menikmati pelbagai destinasi pelancongan menarik di Pantai Timur negeri ini,” katanya pada Mesyuarat Jawatankuasa Bersama ESS Zone di Menara Kinabalu, hari ini.
Mesyuarat itu dipengerusikan bersama Ketua Menteri dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Hajiji berkata, secara keseluruhannya keadaan keselamatan di ESS Zone berada pada tahap yang baik dan terkawal.
“Baru-baru ini, saya sendiri telah melawat enam buah pulau di perairan Sabah untuk meninjau pos-pos kawalan serta melihat tahap kesiapsiagaan anggota keselamatan di lapangan,” katanya.
Beliau berkata, ketiadaan laporan kes penculikan untuk wang tebusan sejak enam tahun lalu merupakan satu pencapaian penting hasil usaha Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta semua agensi keselamatan.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada ESSCOM, PDRM, ATM, APMM serta semua agensi keselamatan atas komitmen dan pengorbanan mereka dalam menjaga keselamatan perairan dan daratan Sabah Timur,” katanya.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Dalam Negeri dan semua agensi berkaitan bagi memperkukuh keupayaan operasi, aset, kesiapsiagaan serta kebajikan anggota keselamatan.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Zainudin Aman dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Dr Awang Alik Jeman.






