Inkues Zara: 2 Simulasi Jatuh Guna Patung, Hasil Pertama Hampir Sama Dengan...

Inkues Zara: 2 Simulasi Jatuh Guna Patung, Hasil Pertama Hampir Sama Dengan Kedudukan Zara – Inspektor

0
SHARE

Oleh: Mirlen Axtius

KOTA KINABALU: Prosiding inkues kematian pelajar tingkatan satu, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, hari ini dimaklumkan bahawa polis telah menjalankan dua simulasi jatuh menggunakan patung, dan hasil simulasi pertama didapati hampir sama dengan kedudukan sebenar Zara ketika ditemui.

Saksi kelima, Inspektor Maidon Bernadus dari Jabatan Siasatan Jenayah IPK Sabah, memberitahu Mahkamah Koroner bahawa simulasi itu dilakukan pada 3 Ogos lalu sekitar jam 3 pagi di blok asrama SMKA Tun Datu Mustapha, Kinarut, menggunakan patung seberat 53 kilogram dengan ketinggian lebih kurang 180 sentimeter.

Menurutnya, dua kaedah simulasi dilakukan dari koridor aras tiga asrama, iaitu jatuh tegak lurus tanpa tolakan – patung mendarat pada jarak lebih kurang 2.14 meter dari dinding bangunan dan jatuh dengan tolakan minima ke hadapan – patung mendarat pada jarak kira-kira 3.45 meter dari dinding.

“Secara keseluruhan, hasil dari simulasi yang telah saya bersama pasukan CSI lakukan mendapati, simulasi pertama iaitu jatuhan patung ke bawah tanpa daya tolakan/dorongan adalah hampir dengan kedudukan mangsa melalui siasatan awal yang telah dilaksanakan oleh pegawai penyiasat melalui taklimat ringkas yang diberikan pada awalnya,” katanya di sini, hari ini ketika memberi keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.

Proses simulasi yang turut disertai pegawai penyiasat, pasukan CSI IPK Sabah, dan wakil warden asrama itu selesai sekitar jam 6.30 pagi, sebelum laporan rasmi disediakan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat.